Juventus mengumumkan Leonardo Bonucci bakal terlepas aksi di antara 45 hingga 60 hari akibat kecederaan paha.

Tonggak antarabangsa Itali itu terpaksa diusung keluar ketika mereka tewas 3-1 kepada Genoa dalam kempen Serie A dan telah menjalani ujian imbasan, sekembalinya kelab itu ke Turin.

Kelab itu mengesahkan kecederaan otot kaki kiri tersebut akan meminggirkan Bonucci sekurang-kurangnya sehingga pertengahan Januari.

"Kecederaan hamstring di paha kirinya telah dikenal pasti, dia akan menjalani rawatan sekitar 45 hingga 60 hari," menurut kenyataan kelab itu.

Gergasi Serie A tersebut, bagaimanapun, tidak mendedahkan tempoh pemulihan Dani Alves selepas bekas pemain pertahanan Barcelona itu mengalami keretakan tulang kaki dalam perlawanan yang sama.

"Tempoh pemulihannya akan ditentukan oleh ujian klinikal dan radiografi yang akan dibuat dalam tempoh beberapa hari lagi," ujar kelab itu.

Perkembangan itu membuat Massimiliano Allegri tersentak ekoran turut kehilangan pertahanan tengah veteran, Andrea Barzagli, yang berehat sehingga tahun baru akibat kecederaan tulang selangka.