Kecederaan Alex Sandro, Khedira cetus bimbang Juventus

Oleh Muzaffar Musa 19 Jun 2020 41
Kecederaan Alex Sandro, Khedira cetus bimbang Juventus
Juventus berkemungkinan akan kehilangan khidmat Alex Sandro dan Sami Khedira apabila mereka kembali meneruskan pemburuan kejuaraan kesembilan Serie A secara berturut-turut dengan menentang Bologna awal pagi selasa ini.

Pertahanan kiri, Alex Sandro, mengalami kecederaan medial collateral ligament (MCL) ketika Juve tewas kepada Napoli dalam penentuan akhir Coppa Italia awal pagi semalam.

Pemain kebangsaan Brazil itu mengalami masalah lutut dan berkemungkinan terpaksa direhatkan selama tiga minggu.

Khedira pula mengalami kecederaan pinggul ketika sesi memanaskan badan menjelang aksi final di Stadio Olimpico itu, di mana Napoli dinobatkan sebagai juara selepas mengungguli penentuan sepakan penalti 4-2 susulan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sepanjang masa sebenar.

Juve tidak menetapkan sebarang tempoh untuk kedua-dua pemain itu berehat, empat hari sebelum perlawanan Serie A pertama mereka sejak liga itu direhatkan berikutan pandemik Covid-19, Mac lalu.

Kelab itu berkata dalam satu kenyataan: "Ujian diagnostik yang dijalankan di J-Medical tengah hari ini (Khamis) menunjukkan Alex Sandro mengalami kecederaan MCL tahap pertama. Sesi fisioterapinya akan bermula secepat mungkin.

"Untuk Khedira, dia mengalami sedikit kecederaan pada sebahagian tendon otot adductor panjang di paha kanannya. Dalam beberapa hari lagi, dia akan menjalani pemeriksaan lanjut untuk menentukan tempoh pemulihannya.

"Proses pemulihan individu buat Giorgio Chiellini dan Gonzalo Higuain juga masih berjalan.

"Sesi latihan dijadualkan pada petang Sabtu ini."

Pasukan gergasi Turin itu mendahului liga dengan hanya berkelebihan satu mata di depan Lazio berbaki 12 perlawanan musim ini.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen