GETAFE 1 REAL MADRID 2

Cristiano Ronaldo kembali menemui sentuhan jaringan selepas golnya ketika perlawanan berbaki lima minit mengesahkan kemenangan 2-1 Real Madrid ke atas Getafe dalam saingan LaLiga, semalam.


Selepas kembali daripada penggantungan lima perlawanan, Ronaldo masih belum menghasilkan sebarang jaringan dalam saingan domestik, namun akhirnya berjaya menamatkan badi itu untuk memastikan Madrid pulang dengan tiga mata.

Bermain di tempat lawan, skuad Los Blancos yang dikendalikan oleh Zinedine Zidane beraksi dengan misi merapatkan jurang dengan pendahulu liga, Barcelona.

Madrid berjaya meraih gol pembukaan enam minit sebelum tamat babak pertama selepas penyerang, Karim Benzema, mengambil kesempatan pertahanan lawan yang gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya sebelum melepaskan rembatan leret menewaskan penjaga gol, Vicente Guaita.

Bersambung separuh masa kedua, Madrid meneruskan asakan bertali-arus tetapi penyerang tuan rumah berusia 35 tahun, Jorge Molina, mengejutkan pelawat dengan gol penyamaan selepas mudah menolak masuk bola hantaran lintang dari sebelah kiri gawang Madrid dan menewaskan Kiko Casilla.

Kemasukan Theo Hernandez dan Isco yang menggantikan Lucas Vazquez dan Marcelo jelas menambahkan sengat di barisan depan Los Blancos, namun tetap gagal menjaringkan gol kedua buat pasukan.

Tatkala keputusan dilihat bakal berakhir dengan keputusan seri, Ronaldo muncul wira apabila bijak membaca bola lambungan Isco di sebelah kanan kotak penalti lawan sebelum melepaskan sepakan separa voli menewaskan Guaita untuk kembali meletakkan Real Madrid kembali di depan pada minit ke-85.

Kedudukan 2-1 kekal sehingga ke wisel penamat, menyaksikan Real Madrid kini mengumpul 17 mata daripada lapan perlawanan.