Kelab dari Sabah yang beraksi dalam liga Piala FAM, KDMM FC, sedia menggunakan khidmat pemain import sekiranya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membenarkan penggunaan pemain luar negara bagi saingan musim depan.

Presidennya, Datuk Peter Anthony, berkata KDMM FC telah mengenal pasti beberapa pemain berpotensi dari Indonesia sekiranya cadangan penggunaan pemain import liga Piala FAM diluluskan FAM.

"Kehadiran pemain import tentunya akan memperkuatkan pasukan, terutama apabila kami juga akan bersaing dalam saingan Piala FA tahun depan," katanya di Kota Kinabalu, semalam.

Sementara itu, Peter berkata KDMM FC juga sedia membentuk sebuah pasukan yang lebih mantap bagi memberi cabaran sengit dalam saingan divisyen tiga itu, musim depan.

"Penampilan sulung pada tahun ini telah memberi kami banyak pengalaman dan pengajaran berguna untuk tampil dengan lebih baik pada tahun depan.

"Kami akan membentuk pasukan lengkap yang lebih mantap selewat-lewatnya penghujung tahun ini," katanya.

Beliau berkata pemilihan pemain tempatan akan dibuat menerusi siri jelajah ke beberapa daerah, termasuk ke daerah-daerah pedalaman dalam masa terdekat ini.

"Pemain yang ingin menyarung jersi KDMM FC perlu menyertai pemilihan yang diadakan. Pemain sedia ada juga perlu ikuti pemilihan. Kami akan keluarkan jadual pemilihan minggu ini.

"Penyertaan pasukan kelab seperti KDMM FC dalam saingan Liga Malaysia adalah tambahan ruang dan peluang kepada pemain tempatan untuk beraksi dalam kancah bola sepak negara.

"Kita juga tahu bahawa ramai pemain negeri tidak dapat mengekalkan tempat mereka tetapi penyertaan dari pasukan kelab dalam Liga Malaysia memberikan mereka peluang.

"Apapun di KDMM FC, tiada tempat secara automatik kepada mana-mana pemain, sama ada pemain sedia ada atau bekas pemain negeri atau kelab lain," tegasnya.

Penampilan sulung KDMM FC dalam Liga FAM tahun ini melakar sejarah baharu arena bola sepak Sabah apabila buat pertama kalinya membawa aksi saingan berkenaan di pedalaman, iaitu di Kompleks Sukan Keningau sebagai venue utamanya selaku tuan rumah.

KDMM FC yang dibarisi majoriti pemain yang julung kali beraksi dalam Liga Malaysia juga berjaya merealisasikan sasarannya mara ke pusingan suku akhir selepas menduduki tempat keempat dalam kalangan lapan pasukan dalam saingan peringkat kumpulan.

Pasukan yang majoriti pemainnya beraksi julung kalinya dalam saingan Piala FAM itu juga hampir membuat kejutan apabila hanya tewas dengan agregat 3-5 kepada pasukan Majlis Sukan India Malaysia-Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MISC-MIFA) dalam suku akhir yang dijalankan secara timbal balik.

Saingan musim lalu juga menyaksikan MISC-MIFA muncul juara selepas menewaskan pasukan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) dengan agregat 3-1.