Status sebagai pemain amatur tidak menjadi penghalang buat M. Kavishkumar untuk menjalani ujian pemilihan selama sebulan bersama beberapa kelab Liga Jepun (Liga-J).

Pemain kelahiran Kuala Lumpur itu hanya berbekalkan pengalaman beraksi bersama skuad Piala Belia MISC-MIFA, tahun lalu.

Ini merupakan ujian pemilihan kedua Kavishkumar di Jepun selepas ujian pertama, Oktober tahun lalu.

Bagaimanapun, Kavishkumar tetap bersikap positif sungguhpun tiada pengalaman dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).

Kavishkumar kini hanya beraksi untuk kelab bola sepak Victoria Institution dalam saingan Liga Perdana Kuala Lumpur.

"Ini masa depan dan memang impian saya dari kecil.

"Peringkat antarabangsa adalah pentas yang besar tetapi saya mahu mengambil risiko itu dan menghadapinya, ia menjadi dorongan buat saya.

"Di mana-mana pun permainan bola sepak tetap sama. Cuma di Jepun, tahapnya lebih tinggi daripada kita.

"Mereka masih bermain bola sepak. Saya perlu cuba menyesuaikan diri dan berharap mampu menempatkan diri kali ini," kata pemain berumur 20 tahun itu.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Victoria itu mendapat peluang menjalani ujian pemilihan di Jepun selepas bakatnya dikesan seorang pencari bakat Liga-J ketika menyertai Kejohanan Kemahiran Dunia Manchester United pada 2014.

Kavishkumar, yang beraksi di bahagian serangan akan ke Jepun dengan perbelanjaan sendiri, namun bapanya, A. Manimaharan, yang bekerja sebagai pemandu di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), memberi sokongan penuh kepadanya.

"Kalau dia memang minat bola sepak, terpaksalah saya keluarkan duit sendiri.

"Saya tidak kisah, janji apa yang dia buat ada hasil," kata bapanya.