Kane kekal tenang selepas ledak gol ke-200 bersama Spurs

Oleh Ammar Hakim 6 November 2020 72
Kane kekal tenang selepas ledak gol ke-200 bersama Spurs
Penyerang Tottenham, Harry Kane, meledak gol ke-200 untuk Spurs ketika menang 3-1 dalam saingan Liga Europa ke atas Ludogorets tetapi menegaskan dia tidak bercadang untuk menjadi penjaring gol terbanyak kelab.

Kane menanduk masuk hantaran Lucas Moura pada minit ke-13 sekaligus merekodkan gol yang ke-200 untuk Spurs dalam 300 penampilan bagi semua pertandingan.

Dia telah menjaringkan 121 gol dengan kaki kanan, 44 menggunakan kaki kiri dan menanduk 34 kali, dengan 177 hadir dalam kotak penalti sementara 23 daripada luar.

Pemain berusia 27 tahun itu telah meledak 30 penalti tetapi hanya satu sepakan percuma, dan menghuni tempat ketiga selaku penjaring terbanyak Spurs, lapan gol di belakang Bobby Smith dan 66 di belakang Jimmy Greaves.
   
"Itu bukan di fikiran saya," kata Kane kepada BT Sport ketika ditanya adakah dia memikirkan untuk mengatasi kedua-duanya.

"Ini sesuatu yang kalian akan maklumkan setelah saya menerimanya. Ini semua perkara hebat. Sebaik sahaja anda menamatkan karier sebagai pemain, anda akan mengingatinya semula.

"Masa berjalan begitu pantas, rasanya seperti semalam saya menjaringkan gol pertama untuk Spurs. Ini adalah pencapaian hebat untuk meledak 200 gol, tapi pasti masih ada lagi. Mari kita teruskan."

Spurs mengalami kekalahan mengejut 1-0 kepada Royal Antwerp dalam aksi Liga Europa sebelum ini dan Kane berkata ia amat penting kembali meraih kemenangan dalam pertandingan ini.

"Kami perlu bangkit. Saya tidak berasakan ia adalah persembahan terbaik kami tetapi kami memenangi perlawanan ini. Bukan mudah beraksi di Eropah, ia telah berlaku kepada kami minggu lalu."

Tentang Penulis

Ammar Hakim

Komen