Marcel Kalonda mempertahankan kedudukannya sebagai calon pemain warisan negara walaupun Persatuan Bolaspak Malaysia (FAM) mempunyai bukti kukuh bahawa permohonan pemain dari Congo itu tidak sah.

Itulah yang ditegaskan pemain yang mengakui mempunyai darah campuran Malaysia itu kepada wartawan Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam, ketika dihubungi hari ini.

"Bagaimana saya boleh (dikatakan) mempunyai dokumen palsu.

"FAM menerusi media pada mulanya berkata semuanya (urusan menunjukkan) positif." katanya.

Pertahanan Zesco United itu mengakui terkejut apabila permohonannya ditolak oleh FAM tetapi menegaskan bahawa dia sedia mengemukakan permohonan semula kepada badan induk berkenaan bagi meneruskan impiannya bergelar pemain warisan negara.

"Saya bersedia dan berhasrat beraksi untuk negara kelahiran bapa saya (Sabah).

"Saya amat kecewa dengan dakwaan FAM itu. Apa yang mereka katakan tidak bagus kepada saya. Saya seorang pemain yang bersikap profesional.

"Ia tidak bagus. Orang akan menilai bahawa saya telah mengemukakan dokumen palsu," katanya lagi.