Jika Manuel Neuer terpaksa menjadi pemerhati dalam kempen Piala Dunia 2018 akibat kecederaan, Oliver Kahn yakin Marc-Andre ter Stegen lebih daripada sekadar mampu untuk menggantikan tempatnya.

Penampilan penjaga gawang Bayern Munich, Neuer, sangat terhad sepanjang 2017 ini akibat kecederaan metatarsal dan bulan lepas mengatakan dia mungkin tersisih selama setengah tahun lagi.

Situasi itu adalah sukar untuk ditelan bagi pemain berusia 31 tahun itu untuk mencapai kemuncak prestasi selepas muncul di ranking ketiga pencalonan Anugerah Ballon d'Or 2014 ketika memenangi Piala Dunia di Brazil.

Sehubungan itu, faktor itu meletakkan penjaga gol Barcelona, Ter Stegen, untuk merampas jersi nombor satu dan Kahn menyatakan sokongan ke arah langkah itu sekiranya keadaan memerlukan.

"Secara tradisinya, kami mempunyai penjaga gol yang sangat tangkas di Jerman meskipun penjaga gol utama tersisih," kata Kahn kepada Omnisport menjelang Anugerah Golden Foot Hublot di Monaco.

"Pada 2010, Rene Adler sepatutnya menjadi penjaga gawang utama untuk Jerman dan terlepas kejohanan itu disebabkan kecederaan dan Manuel Neuer masuk lalu mengharungi kempen yang sensasi.

"Jadi, saya juga akan mempercayai Marc-Andre ter Stegen yang bermain untuk Barcelona akan menempuhi Piala Dunia yang baik andai Manuel Neuer gagal pulih tepat tepat pada masanya.

"Tetapi anda perlu tahu satu perkara mengenai Manuel Neuer. Pada masa ini, dia adalah penjaga gol terbaik dan siapa yang mahu mengetepikan penjaga gol terbaik di dunia?"

Kahn percaya adanya pilihan ramai pemain dalam skuad itu seperti yang dibuktikan mereka dalam kemenangan Piala Konfederasi musim panas lalu, akan memberi peluang kepada Joachim Low untuk mempertahankan gelaran dunia mereka.

"Pertama sekali, anda perlu melihat bahawa baru-baru ini pasukan kebangsaan Jerman juga memenangi Piala Konfederasi menerusi khidmat ramai pemain yang dianggap bukan pilihan utama," katanya lagi.

"Ini menunjukkan betapa kuatnya pasukan ini, begitu juga dengan skuad belia, berapa ramai pemain bola sepak Jerman yang berkualiti tinggi ketika ini.

"Pada masa ini, terdapat persaingan sengit dalam pasukan kebangsaan di semua posisi, terutama di bahagian tengah, Ilkay Gundogan menjadi salah seorang pemain yang sudah bersedia merebut posisi tersebut.

"Di bahagian serangan, mereka berkemungkinan besar akan mempertaruhkan Timo Werner, jadi mereka adalah sebuah pasukan yang mungkin dapat mempertahankan gelaran Piala Dunia.

"Jerman merupakan pencabar kuat, namun kita tahu dalam Piala Dunia terdapat pesaing lain seperti Argentina, Itali, Perancis atau Brazil -- bergantung bagaimana mereka pulih daripada diaibkan 7-1 dalam Piala Dunia yang terakhir. Ia sukar untuk diramal," tambahnya.