Ketua jurulatih Paris Saint-Germain (PSG), Unai Emery, berasakan kad merah yang diterima Neymar ketika seri 2-2 menentang Marseille adalah tindakan keras sambil menegaskan bintang itu sepatutnya mendapat perlindungan.

Edinson Cavani menyelamatkan satu mata buat PSG menerusi sepakan percumanya pada minit ke-93 selepas Neymar dilayangkan kad merah.

Pemain antarabangsa Brazil itu, yang sebelum itu menyamakan kedudukan untuk pelawat di Stade Velodrome, menerima dua kad kuning dalam masa tiga minit dalam aksi Le Classique.

Tetapi Emery percaya keputusan itu adalah terlalu keras terhadap Neymar, yang menerima kad kuning kedua setelah berlanggar dengan Lucas Ocampos.

"Kami agak kecewa dengan kad merah kerana dia kerap menjadi mangsa sepanjang perlawanan," kata Emery dalam sidang akhbar.

"Saya fikir pengadil juga perlu berfikir dengan baik. Kita mesti melindungi pemain.

"Kad kuning itu, saya fikir ia tidak adil kepada Neymar. Dia seorang pemain yang mahu bermain tetapi jika setiap perlawanan dia menerima provokasi, dia mesti marah... Saya fikir ia adalah tugas (pengadil) untuk melindungi pemain penting dalam kedua-dua pasukan."

Luiz Gustavo dan Florian Thauvin telah membawa Marseille di depan dua kal, tetapi sepakan percuma yang diambil Cavani menghadiahkan satu mata buat pendahulu liga, PSG.

Emery berasakan pasukannya -- kini berkelebihan empat mata dalam liga -- berhak mendapat keputusan seri.

"Sukar bagi kami kerana perlawanan hilang rentak, kami mahu lebih banyak rentak, lebih bermain, tetapi sukar," katanya.

"Mereka mempunyai peluang dan mereka menjaringkan gol pada separuh masa pertama. Selepas 2-1 dan kad merah, sukar bagi kami tetapi karakter pasukan membantu kami seri.

"Hasilnya betul," katanya lagi.