Maurizio Sarri berasakan pasukannya sedang menangani satu "isu mental" apabila melibatkan usaha untuk menjaringkan gol selepas pengurus Juventus itu kecewa mereka kurang melakukannya musim ini.

Skuad kendaliannya itu yang kekal tanpa sebarang kekalahan, kini diatasi Inter yang meraih kemenangan 2-1 ke atas Brescia, awal pagi tadi.

Juve seri 1-1 dengan Lecce, Sabtu lalu dan keputusan untuk merehatkan Cristiano Ronaldo menghukum mereka tatkala Gonzalo Higuain, Leonardo Bonucci dan Federico Bernardeschi gagal melunaskan peluang terhidang.

Walaupun sekadar dibolosi lapan jaringan, juara bertahan itu merupakan penjaring gol terendah di antara empat pasukan teratas Serie A menjelang pertemuan dengan Genoa, awal pagi esok.

"Kami sedang menyesuaikan diri dengan corak permainan yang baru, jadi ia adalah kebiasaan untuk mendapatkan kesempurnaan. Kami boleh meningkatkan lagi mutu permainan dan berada di landasan yang betul," kata Sarri.

"Terdapat ruang boleh diperbaiki dan perkara paling penting adalah kami meluahkan kemampuan yang dimiliki.

"Kami memiliki jumlah percubaan meledak jaringan paling rendah. Pada pandangan saya, ia lebih kepada tekanan berbanding perkara lain.

"Saya meluahkan kebimbangan kepada pemain-pemain dan kami akan cuba melakukan latihan yang mampu membantu pasukan.

"Kami masih lagi memiliki barisan pertahanan terbaik dalam Serie A. Liga ini sudah berubah dan bilangan jaringan yang dihasilkan secara purata sudah meningkat, sekali gus menjadikan persaingan lebih prolifik."

Juve akan berdepan Genoa tanpa Miralem Pjanic dan Higuain selepas mereka mengalami kecederaan sementara Douglas Costa berkemungkinan akan membuat penampilan semula.

"Pjanic mengalami kecederaan dan tidak dapat turun berlatih bersama pasukan. Higuain mengalami kecederaan serius di bahagian kepala.

"Costa kembali bersama pasukan sejak 45 hari yang lalu dan baru sahaja menjalani satu latihan tetapi kami akan melihat perkembangannya."