Mattia Perin meninggalkan Juventus untuk menyertai bekas kelabnya, Genoa, secara pinjaman sambil ketibaannya di Rossoblu itu diiringi Valon Behrami yang menandatangani kontrak sebagai pemain bebas.

Perin, 27, yang digilap menerusi akademi Genoa telah menghabiskan tempoh sepanjang lima tahun lalu sebagai penjaga gol pilihan pertama sebelum menyertai Juve pada 2018, namun dia kembali secara pinjaman hingga akhir musim.

Juve dikatakan telah menghabiskan kira-kira €15 juta (RM68.5j) untuk melengkapkan perpindahannya pada Jun 2018 yang menyaksikan dia membuat sembilan penampilan dalam kempen pertamanya apabila menjadi pemain gantian kepada Wojciech Szczesny.

Begitupun, kembalinya Gianluigi Buffon menjelang kempen 2019 menyebabkan Perin menjadi pilihan ketiga di Bianconeri. Oleh itu, dia gagal membuat sebarang penampilan dalam mana-mana kejohanan musim ini.

Serie A mengesahkan perjanjian pinjaman itu telah dimuktamadkan, namun kedua-dua kelab tidak menawarkan sebarang maklumat mengenai langkah tersebut.

Behrami -- yang menjalani latihan bersama Genoa -- turut menyertai kelab itu secara percuma selepas kontraknya bersama kelab Switzerland, Sion, berakhir atas persetujuan bersama Oktober lalu.

Bekas pemain antarabangsa Switzerland berumur 34 itu telah menghabiskan sebahagian besar kerjayanya di Itali apabila pernah mewakili Lazio, Hellas Verona, Fiorentina, Napoli, Udinese dan Genoa, sejak kali pertama tiba daripada kelab Switzerland, Lugano, pada 2003.



Editor: Shaiful Shamsudin