Maurizio Sarri mencabar Juventus agar mengetepikan soal Liga Juara-Juara (UCL) selepas usaha memenangi gelaran Serie A yang kesembilan berturut-turut terjejas.

Juve tercicir empat mata selepas 15 perlawanan liga musim ini, dua daripadanya berlaku setelah mereka mengharungi kempen UCL pada pertengahan minggu.

Mereka terikat 1-1 dengan Lecce, Oktober lalu susulan kemenangan ke atas Lokomotiv Moscow selain seri 2-2 dengan Sassuolo bulan ini sejurus menundukkan Atletico Madrid, dan hal itu berlarutan apabila mereka tumpas 1-3 kepada Lazio seminggu kemudian.

Keputusan-keputusan itu menyebabkan mereka terpisah dua mata dengan pendahulu liga, Inter.

Lantaran itu, Sarri menuntut nasib serupa tidak lagi diulangi ketika berhitung dengan Udinese awal pagi esok memandangkan mereka masih segar dengan kemenangan 2-0 ke atas Bayer Leverkusen untuk lolos daripada Kumpulan D mereka minggu ini.

"Risiko menurunkan tahap keamatan dan keciciran mata selepas perlawanan UCL boleh dilihat menerusi statistik," katanya dalam sidang media.

"Anda tidak boleh berdebat mengenainya apabila ia berulang dua atau tiga kali.

"Kami perlu mengetahui mengapa ia boleh berlaku dan membetulkannya. Memang terdapat perbezaan permainan dalam Serie A dan UCL tetapi adalah tidak benar untuk mengatakan bahawa lawan di peringkat Eropah lebih terbuka.

"Bayer Leverkusen fokus kepada penguasaan bola sementara Lokomotiv Moscow pula cenderung bertahan.

"Mungkin secara tidak sedar minda kami melayang kepada sasaran lain selepas merekodkan kejayaan Scudetto berturut-turut tetapi itulah sesuatu yang harus kami atasi. Jika kami boleh bersaing dalam UCL, kami juga perlu berdaya saing di Itali. "

Udinese yang diketuai pengurus sementara, Luca Gotti, merupakan sebahagian daripada kakitangan Sarri di Chelsea musim lalu.

Mereka gagal memenangi empat perlawanan Serie A yang lalu, namun Sarri menjangkakan perlawanan sukar di Stadium Allianz.

"Gotti sangat berbakat," katanya. "Udinese boleh mengubah hantaran jauh kepada peluang untuk menjaringkan gol, jadi kami harus waspada terhadapnya.

"Mereka merupakan sebuah pasukan berbahaya yang tahu bagaimana untuk menutup ruang dengan baik dan menjadikan ia perlawanan yang sengit. Mereka mempunyai penyerang yang melaksanakan tugas dengan baik dan boleh berbahaya dalam keadaan yang berbeza."

Pemain tengah, Adrien Rabiot dan Emre Can, bergelut untuk menempatkan diri pada musim ini apabila hanya lima kali diturunkan dalam Serie A, sementara Can tidak tersenarai dalam kempen peringkat kumpulan UCL.

Sarri berkata kedua-duanya mungkin diturunkan untuk berdepan Udinese sambil mencadangkan Rabiot -- yang berpindah secara percuma daripada Paris Saint-Germain -- belum lagi dapat menyesuaikan diri dengan kehidupan di kelab itu.

"Dia bergelut untuk menyesuaikan diri dengan gaya bola sepak kami tetapi itu adalah perkara biasa," jelasnya.

"Dia juga mengalami kecederaan dan berusaha keras dalam babak pertama di Jerman (melawan Leverkusen), tetapi dia terpaksa dikeluarkan pada penghujung perlawanan. Dia agak senyap, ia kurang membantunya bagi menyesuaikan diri.

"Can sangat kecewa (dipinggirkan dalam kempen Eropah). Sama ada Can atau Rabiot, mereka pasti akan beraksi ataupun kedua-duanya mungkin bergandingan di atas padang untuk sebahagian perlawanan ini."