Pengendali Bayern Munich, Niko Kovac, mendakwa barisan jurulatih tidak diberikan masa yang cukup untuk merealisasikan idea bersama kelab.

Walaupun mengemudi Bayern menjuarai Bundesliga dan DFB-Pokal musim lalu, Kovac menyaksikan pasukan kendaliannya itu terkandas dalam pusingan kedua Liga Juara-Juara Eropah sehingga menyebabkannya berdepan tekanan di permulaan kempen 2019-20.

Ketika ini, gergasi Bavaria itu hanya memenangi lima daripada sembilan perlawanan liga dan ketinggalan satu mata kepada pendahulu, Borussia Monchengladbach, sehingga menyebabkan timbul spekulasi bahawa Jose Mourinho bakal menggantikan tempatnya.

Bagaimanapun, bercakap dalam sidang media menjelang aksi pusingan kedua DFB-Pokal menentang Bochum, awal pagi esok, Kovac menyuarakan kekesalannya terhadap kesinambungan dalam kejurulatihan sambil menjadikan tempoh Jurgen Klopp bersama Liverpool sebagai bukti sesuatu mampu diraih jika jurulatih diberi masa.

"Anda perlukan masa," katanya.

"Anda perlu mengenali rakan sekerja serta prosedur tetapi ia tampak tidak dilakukan terhadap jurulatih. Ia bukan tentang saya tetapi secara umum.

"Klopp kini sudah bersama Liverpool selama empat tahun, jadi kami bercakap tentang kesinambungan. Jelas sekali ia tidak lagi wujud dalam bola sepak."

Kovac dijangka melakukan perubahan menjelang pertemuan dengan Bochum di tempat lawan tetapi tidak memberi jaminan Philippe Coutinho akan diberikan rehat.

Coutinho menyinar sejak dipinjam daripada Barcelona tetapi Kovac tidak gembira dengan tempoh 150 minit yang dilalui pemain tengah itu ketika mewakili Brazil dalam aksi persahabatan menentang Senegal dan Nigeria, awal bulan ini.

"Saya sangat berpuas hati dengannya," tambah Kovac.

"Dia sentiasa berkhidmat buat pasukan. Mungkin dia tidak perlu beraksi dengan lama sewaktu bersama skuad kebangsaan.

"Beban terlalu besar, jadi kami perlu bercakap dengan jurulatih Brazil."

Kovac juga mengesahkan Javi Martinez satu-satunya pemain yang mengalami kecederaan menjelang aksi di Ruhrstadion itu sambil Leon Goretzka dijangka meraih penampilan pertama dalam kesebelasan utama sejak tewas di tangan Borussia Dortmund dalam saingan Piala Super Jerman, 3 Ogos lalu.