Penggempur Real Madrid, Luka Jovic, berkata dia mempunyai impian yang sangat besar tatkala dia kini mempersiapkan diri untuk menghadapi musim pertama bersama gergasi LaLiga itu.

Jovic menyertai Madrid daripada kelab Bundesliga, Eintracht Frankfurt, menerusi yuran perpindahan EUR60 juta (RM277 juta) selepas menjaringkan 27 gol dalam semua kejohanan musim lalu.

Pemain berusia 21 tahun dari Serbia itu muncul selaku salah seorang penggempur berbisa Eropah sehingga turut menarik perhatian Barcelona dan Manchester City sebelum ke Madrid.

Jovic akan menyertai pemain seperti Eden Hazard, Sergio Ramos, Karim Benzema dan Luka Modric di bawah kendalian Zinedine Zidane di Santiago Bernabeu dan dia menyasarkan untuk sesuatu yang besar di ibu kota Sepanyol itu.

"Di permulaan, saya lahir di perkampungan kecil di Serbia yang terdiri daripada 105 buah rumah dan ia satu tempat yang mungkin tidak pernah anda dengar," katanya.

"Apa hala tuju kisah itu? Apa yang akan saya capai? Apa pengakhirannya? Saya tidak tahu tetapi saya mempunyai impian besar.

"Saya sangat gembira untuk hadir ke Real Madrid dan sekali lagi, saya mahu ucapkan terima kasih kepada penyokong di Frankfurt kerana membuatkan saya seperti di halaman sendiri selama dua tahun. Terima kasih."

Jovic melakukan penampilan profesional pertama pada usia 16 tahun bersama gergasi Serbia, Red Star Belgrade, pada 2014 sebelum berhijrah ke Benfica dua tahun kemudian.

Dia bergelut untuk mendapatkan tempat di Lisbon dan akhirnya memilih Eintracht menerusi pinjaman dua tahun sebelum ia menjadi perpindahan tetap April lalu.

Jovic berkata: "Perkara itu berlaku pantas kepada saya. Beberapa tahun lalu, saya hanya impikan untuk beraksi bersama Red Star. Untuk beraksi dalam separuh akhir Liga Europa menentang Chelsea, tampil di pentas Piala Dunia dan kini ke Real Madrid, ia hebat.

"Saya rasa apa yang penting buat penyerang adalah keyakinan. Saya tidak pernah meraguinya. Saya fikirkan memang mempunyai kualiti yang ada sejak lahir dan saya tidak meraguinya.

"Ia satu jenaka. Sewaktu saya mewakili skuad kebangsaan, rakan sepasukan saya, Stefan Mitrovic, berkata 'apa yang saya mahukan adalah keyakinan anda'.

"Namun, bagi saya, ia benar. Bagaimana anda mampu bergelar penyerang jika tidak yakin? Untuk posisi ini, apa yang penting bukan permulaan tetapi pengakhiran.

"Kadangkala, saya fikir saya lahir dengannya. Semua orang dalam kehidupan mempunyai bakat dan untuk saya, mungkin menjaringkan gol."