Pengurus England, Gareth Southgate, menikmati deretan pemain bagi mengisi jentera serangan dan percaya The Three Lions menuju ke Euro 2020 dalam keadaan yang jauh lebih baik berbanding ketika menghadapi Piala Dunia.

Skuad bimbingan Southgate itu layak ke Euro 2020, memenangi tujuh daripada lapan perlawanan dengan menghasilkan 37 gol.

11 daripadanya hadir menerusi dua perlawanan terbaru mereka, mengatasi Montenegro 7-0 Khamis lalu sebelum membenam Kosovo 4-0, awal pagi tadi.

Southgate menurunkan trio utama -- Harry Kane, Marcus Rashford dan Raheem Sterling, dengan dua daripadanya telah menjaringkan gol dalam kedua-dua gol.

Sterling kembali dalam kesebelasan utama selepas diketepikan kerana bergaduh dengan Joe Gomez, melakukan bantuan jaringan kepada Rashford.

England melayakkan ke Euro 2020 hasil kemenangan Khamis lalu dan Southgate kagum dengan persembahan yang ditampilkan barisan pemainnya.

"Saya berasakan kami jauh lebih baik berbanding ketika menghadapi Piala Dunia Russia," kata Southgate.

"Kami perlu memastikan tahap yang sama dapat ditampilkan musim panas ini, kami perlu mencari ruang yang harus diperbaiki.

"Anda dapat melihat keyakinan pasukan ini. Mereka tidak bimbang menghadapi sebarang perlawanan dan memikirkan kesilapan yang bakal berlaku. Mereka yakin mengawal
permainan dan mengetahui mampu menjaringkan gol.

"Kami memberikan tekanan kepada pemain-pemain supaya mereka menampilkan aksi terbaik. Mereka dahagakan kejayaan dan ia adalah petanda yang positif buat kami.

"Sterling, Kane, dan Rashford -- saya sangat gembira dapat bekerjasama dengan mereka. Pemain-pemain muda dalam pasukan juga turut memberikan sokongan kepada pasukan.

"Mereka berkembang maju antara satu sama lain, mereka menghasilkan peluang bersama-sama, mereka semua menjaringkan gol -- terutama sekali daripada Rashford dan
Sterling.

"Selepas ini, kami memerlukan aksi ujian berdepan lapan atau 10 pasukan teratas dunia, ia akan menyaksikan bagaimana menghadapi situasi sebenar dalam usaha untuk
muncul juara Eropah.

"Empat pasukan terakhir bersaing ketika Piala Dunia tahun lalu adalah dari Eropah, kemudian hadir pasukan seperti Sepanyol, Jerman, dan Portugal. Ia adalah kejohanan
yang sengit."