Luigi Di Biagio kekal sebagai calon utama yang akan mengendalikan skuad Itali secara tetap, demikian pengesahan Naib Pesuruhjaya Persekutuan Bolasepak Itali (FIGC), Alessandro Costacurta, yang menjelaskan keputusan itu bakal dimuktamadkan pada Mei ini.

Jurulatih skuad bawah 21 tahun itu dilantik secara sementara selepas pemecatan Gian Piero Ventura susulan skuad Azzurri gagal melayakkan diri ke Piala Dunia buat kali pertama sejak 1958 setelah kalah dalam aksi menentang Sweden pada November lalu.

Costacurta telah menyebut ramai calon yang berpotensi, dengan bekas pertahanan Itali itu sebelum ini turut memberitahu bahawa jurulatih Chelsea, Antonio Conte, merupakan sasaran utama FIGC.

Vincenzo Montella dari Sevilla mengesahkan minatnya, dengan Carlo Ancelotti dan jurulatih Zenit, Roberto Mancini, antara nama lain yang dilaporkan berada di dalam peracangan mereka.

Costacurta sebelum ini mencadangkan bos Juventus, Massimiliano Allegri, dan rakan sejawatnya di Napoli, Maurizio Sarri, juga tertarik dengan FIGC, tetapi beliau berkata peluang Di Biagio tidak tertutup meskipun tewas 2-0 kepada Argentina dalam pertandingan pertamanya sebagai jurulatih, semalam.

"Kami akan memberitahu nama jurulatih baru pada 20 Mei," kata Costacurta dalam sidang media hari ini.

"Jika kami mempunyai peluang untuk mendapatkan seseorang lebih baik daripada Di Biagio -- dan saya tidak fikir ada ramai -- maka kami akan menilainya.

"Saya rasa lebih penting untuk fikir tentang pemain yang kami miliki," ujarnya.

Costacurta menyatakan sekiranya Di Biagio tidak diberi tugas itu secara tetap, masih ada peranan bagi jurulatih berusia 46 tahun itu.

"Di Biagio adalah jurulatih yang meningkat setiap tahun, mendaki kedudukan dalam persekutuan," katanya.

"Mungkin dia akan menjadi jurulatih baru atau menyertai barisan kakitangan untuk jurulatih baru."

Itali akan menghadapi England di Wembley, Rabu ini, dan seterusnya akan menentang Perancis dan Belanda dalam aksi persabahatan pada Jun.