POLAND 0 ITALI 0

Roberto Mancini dan Marco Verratti sependapat bahawa Itali telah melepaskan peluang keemasan ketika seri 0-0 di Poland, awal pagi tadi.


Biarpun Azzurri mendominasi perhitungan di Gdansk itu dan menciptakan beberapa peluang menarik, mereka gagal mencari jurang pemisah.

Federico Chiesa, Lorenzo Pellegrini dan Emerson Palmieri masing-masing memiliki peluang terhidang sementara Andrea Belotti, tenggelam di jentera serangan.

Lantas, kegagalan itu menyaksikan Itali gagal melebarkan penguasaan puncak Kumpulan A1, Liga Negara-Negara Eropah (UNL) dengan tiga mata menjelang satu lagi aksi getir bertemu Belanda, awal pagi Khamis ini.

Mancini memberitahu wartawan: "Menentang Poland kami sepatutnya banyak melancarkan asakan. Ini merupakan peluang dilepaskan.

"Padang dalam keadaan buruk dan bola melambung dengan teruk tetapi saya tidak mahu mencipta alasan: kami sepatutnya mengakhiri babak pertama dengan kelebihan sekurang-kurangnya satu gol.


"Kami dalam kumpulan yang seimbang, kemaraan akan diputuskan dalam perlawanan terakhir. Poland adalah pasukan yang sangat mantap, mereka mempunyai juara hebat di bahagian serangan selain beberapa pemain bagus lagi.

"Dua tahun lalu mereka telah menyusahkan kami. Kami gembira dengan kemajuan yang telah kami capai. Kami ingin meningkatkan lagi prestasi dan perlawanan seperti malam ini adalah sebahagian daripada jalan kami yang perlu kami tempuhi walaupun keputusannya pahit untuk ditelan."

Verratti turut melahirkan kekecewaan tetapi cenderung ke arah positif dengan menegaskan Itali telah memperagakan satu persembahan yang jitu cuma gagal merobek gawang lawan.

"Kami pulang dengan rasa pahit," tambah bintang Paris Saint-Germain (PSG) itu.

"Saya setuju bahawa keadaan padang menyukarkan kami untuk mengetengahkan corak sebenar permainan kami. Tetapi kami telah menghasilkan satu perlawanan yang hebat -- kami hanya kekurangan gol."