Pemain tengah Kedah, Syazwan Zainon, berharap isu tunggakan gaji segera diselesaikan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) dengan mengharapkan isu semasa yang sedang berlegar ketika ini tidak mengganggu tanggungjawab majikan ke atas pemain.

Sehingga ke saat ini, Kedah gagal melunaskan pembayaran gaji bukan hanya kepada pemain, malah barisan kejurulatihan sejak dua bulan lalu.

Syazwan menegaskan dia faham perubahan tampuk kepimpinan yang sedang berlaku dalam KFA ketika ini, namun dalam masa yang sama mengharapkan isu ini tidak berlarutan terlalu lama.

"Kami sedar KFA baru diambil alih oleh kerajaan baru, mungkin sedikit-sebanyak perkara ini memerlukan masa (untuk diselesaikan).

"Kami tiada masalah, kami memahaminya.

"Kami tahu ada masalah dalam kem Kedah mengenai beberapa isu, saya tidak mahu menyalahkan barisan baru persatuan kerana mereka juga memerlukan masa untuk menampung (segala kepincangan)," ujar Syazwan.

Hal yang sama turut disuarakan seorang lagi pemain Lang Merah, Akram Mahinan, yang melabelkan isu itu kali pertama berlaku sepanjang kariernya bersama skuad Hijau Kuning.

Begitupun, dia yakin pihak pengurusan mampu menyelesaikan isu itu secepat mungkin.

"Saya dengar gaji kami mungkin akan dimasukkan dalam tempoh dua tiga hari ini.

"Saya kini bersama kem kebangsaan, jadi saya tidak tahu perkembangan terbaru skuad Kedah," katanya.