INTER MILAN 0 LAZIO 0

Simone Inzaghi percaya sistem video bantuan pengadil (VAR) telah menyebabkan Lazio keciciran tujuh mata dalam Serie A selepas mereka dinafikan penalti ketika seri 0-0 menentang Inter Milan di San Siro, awal pagi tadi.


Pengadil perlawanan, Gianluca Rocchi, pada mulanya mengurniakan Lazio penalti apabila hadangan Milan Skriniar daripada hantaran lintang Ciro Immobile terkena lengan pada minit ke-61.

Bagaimanapun, selepas membuat rujukan VAR, Rocchi membatalkan keputusan itu dan skuad Inzaghi terlepas peluang untuk menjaringkan gol penting.

Selepas sistem itu turut membuat keputusan memihak kepada Fiorentina dan Torino dalam perlawanan terdahulu Lazio, jurulatih yang kecewa itu berasakan ia tidak digunakan secara konsisten walaupun dia mengakui keputusan tepat dicapai pada kali ini.

"Dengan dua mata hari ini, kami mungkin mempunyai tujuh mata tambahan musim ini (sekiranya) tanpa VAR," kata Inzaghi kepada Mediaset Premium.

"Lazio tidak bernasib baik dengan VAR. Dengan lebih tujuh mata, kami mungkin berada lebih tinggi dalam carta.

"Saya bersetuju ia bukan penalti tetapi hakikatnya masih ada keputusan yang memihak kepada kami di mana VAR tidak digunakan, jadi ia tidak konsisten.

"Secara jujur, saya tidak suka teknologi ini. Saya lebih suka Liga Europa, di mana ia tiada VAR.

"Apapun, kami berhak menang," katanya.

Keputusan itu membawa Inter mengharungi empat perlawanan Serie A tanpa kemenangan dan membuatkan perebutan gelaran mereka kabur selepas memulakan 16 perlawanan tanpa kalah dalam kempen ini.

Jurulatihnya, Luciano Spalletti, menawarkan pandangan berbeza mengenai VAR dan bercanggah dengan dakwaan Inzaghi bahawa Lazio sepatutnya meninggalkan San Siro sebagai pemenang.

"Lihat sahaja perkara positif (VAR) telah dilakukan. Kamu tidak boleh bandingkan keputusan betul dan salah," kata Spalletti.

"Jika saya benar-benar mahu, saya boleh tunjukkan kepadanya peluang-peluang. Kami mempunyai peluang sebanyak Lazio dan (penjaga gol Thomas) Strakosha sangat bagus tetapi saya hanya tertarik dengan pasukan saya."