INTER 3 ROMA 1

Ketua eksekutif Inter, Giuseppe Marotta, tidak dapat menjamin sama ada Antonio Conte akan kekal di San Siro di sebalik masalah yang dihadapi di luar padang.


Conte membimbing Inter menjulang Scudetto pertama mereka sejak 2009-10 dengan baki empat perlawanan selain masih mempunyuai kontrak selama setahun lagi.

Namun, gergasi Itali itu menghadapi masalah kewangan, lantas Conte dilaporkan mempertimbangkan masa depannya menjelang akhir kempen ini.

Perbincangan dikatakan akan diaturkan di antara bekas pengurus Chelsea dan Presiden, Steven Zhang, selepas Inter dua perlawanan seterusnya.

Ketika ditanya oleh Sky Sport Italia apakah Conte akan terus mengemudi juara baru yang ditabalkan itu musim depan, Marotta tidak dapat menawarkan jawapan konkrit.

"Sebagai seorang manusia dan pengarah, saya pasti berharap demikian," katanya.

"Dia membantu kami memulai era baru dalam dua musim yang dipengaruhi oleh COVID-19.

"Menyoroti era Conte selama dua tahun ini, kami berjaya menguasai tempat kedua Serie A apabila hampir memenangi gelaran beberapa minggu sebelumnya, dan juga mara ke final Liga Europa.

"Kami pasti berharap dapat terus bersama walaupun dalam kesulitan ini."

Inter meminta pemain untuk menerima pemotongan gaji sebagai daripada program pengurangan kos, sementara pemain seperti Romelu Lukaku dan Lautaro Martinez pula dikaitkan dengan perpindahan.

Begitupun, Marotta menegaskan bahawa Inter sedia mematahui kontrak sedia ada sekiranya pemain menolak permintaan kelab itu.

"Segalanya bermula dengan pertemuan bersama presiden yang menjelaskan situasi tatkala bola sepak memerlukan ketenangan maksimum," katanya.

"Zhang memberitahu pemain tentang kedudukan kelab tetapi dia tidak mewajibkan sesiapapun untuk potongan gaji. Terserah kepada semua orang untuk membuat keputusan dengan hati nurani mereka.

"Kami amat menghormati pemain yang memberikan kegembiraan luar biasa kepada kelab ini pada musim ini. Saya ulangi: Inter akan menghormati semua perjanjian mereka."




Marotta bercakap sebelum Nerazzurri membelasah Roma menang 3-1 untuk melebarkan rekod 15 kemenangan liga mereka sebagai tuan rumah berturut-turut, awal pagi tadi.

Henrikh Mkhitaryan menyumbat gol sagu hati Roma selepas duo tengah, Marcelo Brozovic dan Matias Vecino, memberikan kelebihan dua gol buat Inter dalam kerancakan babak pertama.

Lukaku kemudian meledak gol ke-22 musim ini -- hanya penyerang Juventus, Cristiano Ronaldo, mengatasinya dengan kolek 28 jaringan -- bagi memuktamadkan kemenangan tuan rumah ke atas Roma sejak 2015.

Pembantu jurulatih, Cristian Stellini, tampil memuji pemainnya dalam sidang akhbar selepas perlawanan berhubung karakter mereka untuk mengetepikan Roma sungguhpun Scudetto sudah dirangkul.

"Seronok melihat pemain turun dengan keinginan dan semangat juang seperti ini," katanya.

"Terdapat sedikit tekanan tetapi kami berjaya mencatatkan 15 kemenangan berturut-turut di San Siro.

"Tidak ada yang berubah selepas memenangi gelaran. Kami harus meneruskan mental dan sikap yang sama agar kami boleh menambah sedikit kebahagiaan lagi."