Luciano Spalletti berkata Inter Milan berkeyakinan rendah selepas aksi pasukannya merudum sehingga tewas 1-0 di tangan AC Milan dalam suku akhir Coppa Italia di Stadium San Siro, awal pagi tadi.

Inter tumbang apabila penyerang lawan, Patrick Cutrone, menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-105 masa tambahan.

"Kami hilang sedikit keyakinan, kami kurang yakin dengan kualiti kami," kata pengurus itu kepada Rai Sport. "Peluang datang dan anda tidak mengambilnya, itu adalah fakta.

"Pada tahap psikologi, kami mesti mengubahnya, perlu sedar bahawa kami sepatutnya melakukan lebih lagi.

Daripada segi fizikal, mereka baik, ada kualiti, tetapi jika mengharapkan seseorang menyelesaikan masalah anda, maka semuanya menjadi sukar.

"Saya fikir pasukan ini mempunyai potensi untuk mengalahkan mana-mana lawan tetapi mesti menyedari keupayaannya dan menggunakannya pada setiap masa," tambahnya.

Tersingkir daripada Coppa Italia dan berada di tangga ketiga dalam Serie A -- lima mata di belakang Napoli -- Antonio Candreva berkata: "Kami agak tidak bernasib baik.

"Dua kekalahan terakhir menyakitkan, ketika kami kalah dalam babak kedua menentang Udinese (tewas 3-1) dan tidak memanfaatkan peluang kami di Sassuolo (tewas 1-0)."