Inter Milan memilih bekas ketua jurulatih Lazio, Stefano Pioli, sebagai jurulatih baru pasukan itu bagi mengatasi masalah aksi hambar mereka pada musim ini.

The Nerazzurri telah memecat Frank de Boer minggu lalu selepas kekalahan 1-0 kepada Sampdoria dalam aksi Serie A dan jurulatih dari Belanda itu hanya berjaya membawa pasukannya meraih dua kemenangan daripada lapan perlawanan dalam semua pertandingan.

Sebelum ini, Marcelino dan Pioli telah dikaitkan sebagai pengganti De Boer dengan harapan untuk memimpin Inter kembali ke landasan yang tepat.

Pioli, 51, telah bersetuju dengan kontrak dua tahun yang ditawarkan untuk berada di San Siro, dan akan membimbing Inter buat kali pertama dalam perlawanan 'derby' Milan selepas rehat antarabangsa.

Inter merupakan kelab ke-11 yang dibimbing Pioli.

Sebelum ini, dia telah membawa Lazio untuk berada di kedudukan ketiga dalam pusingan pertama liga tetapi pusingan kedua menyaksikan dia gagal untuk meneruskan kecemerlangan tersebut dan dipecat pada April tahun lalu selepas kekalahan memalukan 4-1 kepada musuh setempat, Roma.

Walaupun melakukan pelaburan yang besar untuk musim 2016-17, Inter dilihat sedikit bergelut untuk mendapatkan prestasi terbaik apabila hanya mencatatkan lima kemenangan daripada 12 perlawanan liga.

Terkini, Inter mencatatkan kemenangan 3-0 ke atas Crotone di bawah bimbingan pengurus sementara, Stefano Vecchi, tetapi kemenangan tersebut hanya meletakkan mereka di tangga kesembilan.

Harapan untuk melangkah jauh dalam saingan Liga Europa juga tampak samar apabila mereka kini menduduki tangga tercorot dalam kumpulan K selepas mengalami tiga kekalahan daripada empat perlawanan.