Inter Milan akur dengan hakikat tidak dapat menerima khidmat Timo Werner selepas bintang Jerman itu menolak untuk menyertai mereka.

Werner menarik banyak perhatian selepas menyinar bersama RB leipzig dalam Bundesliga dan Liga Juara-Juara Eropah musim ini.

Hanya Robert Lewandowski telah meledakkan lebih banyak jaringan berbanding 24 gol yang dihasilkan Werner di pentas tertinggi Jerman musim ini.

Inter pernah menjadi pilihan beberapa bintang Jerman seperti Jurgen Klinsmann, Lothar Matthaus dan Andreas Brehme ketika era 80 dan 90 an.

Namun, Inter tidak akan mengejar khidmat Werner selepas didedahkan oleh pengarah sukan, Piero Ausilio.

"Kami sentiasa berminat dengannya tetapi dia tidak mahu ke sini," katanya.

"Saya tahu faktor yang memainkan peranan. Saya tahu pendapat dan keinginannya.

"Benar, dia memiliki klausa dalam kontrak tetapi dia tidak mahu ke sini."

Namun, Ausilio berkata Inter kini sedang memantau perkembangan seorang lagi pemain dalam Bundesliga iaitu pemain sayap Hertha Berlin, Matheus Cunha, tetapi menegaskan usaha mendapatkan Edinson Cavani bukan keutamaan memandangkan mereka memiliki khidmat Lautaro Martinez, Romelu Lukaku dan Alexis Sanchez.