Antonio Conte mencetuskan persoalan mengenai masa depannya bersama Inter Milan sebaik pasukan itu tewas 2-3 kepada Sevilla dalam final Liga Europa di Cologne awal pagi tadi.

Romelu Lukaku meletakkan pasukan gergasi Serie A itu didepan menerusi gol sepakan penalti dan Diego Godin kembali mengikatkan kedudukan buat Inter selepas Luuk de Jong menghasilkan dua gol daripada tandukannya dalam babak pertama.

Bagaimanapun, Diego Carlos, yang sepatutnya dilayangkan kad merah susulan kekasaran awalnya ke atas Lukaku, mencetuskan gol kemenangan Sevilla pada minit ke-79 selepas percubaan akrobatiknya terkena pemain nombor 9 itu sebelum menuju ke jaring lawan.

Ia bermakna skuad Nerazzurri itu sekali lagi terpaksa berpuas hati dengan gelaran naib juara selepas menjadi pasukan kedua terbaik di belakang Juventus dalam Serie A.

Bekas pengendali Juventus, Itali dan Chelsea itu berkata dalam sidang media bahawa dia mungkin sudah tidak perlu lagi untuk memperbertulkan segala kesilapan yang berlaku.

"Langsung tiada dendam di antara saya dan kelab ini," kata Conte, sebelum menambahkan dengan nada yang tidak menyenangkan: "Sesuatu terjadi.

"Tidak ada gunanya menyalahkan sesiapa. Kita harus melihat adakah semua orang sudah bersedia untuk tidak lagi berdepan tahun seperi ini setelah apa yang berlaku.

"Saya akan mengkaji situasi kelab ini. Kami perlu merancang masa depan Inter sama ada dengan atau tanpa saya," katanya.

Conte dilihat kerap mengalami pergeseran dengan pengurusan tertinggi Inter apabila sering mempertikaikan kemampuan mereka dalam pasaran pemain biarpun menerima suntikan pemain baru seperti Lukaku, Alexis Sanchez, Ashley Young dan Christian Eriksen.

Bagaimanapun, dia memberikan alasan lain dengan berkata bahawa rasa kurang senangnya itu adalah disebabkan oleh komitmen keluarga.

"Ia mengenai sudut pandangan, beberapa situasi yang saya hadapi tahun ini dan saya tidak menggemarinya.

"Saya mempunyai keluarga dan saya harus menentukan sama ada bola sepak atau keluarga saya perlu diberikan keutamaan.

"Semua perkara ada hadnya, saya harus melihat di mana had saya.

"Kami akan menjelaskan keadaannya, tanpa sebarang amarah, kerana saya akan sentiasa bersyukur kerana berpeluang menghabiskan tahun yang hebat ini di Inter tetapi di sisi lain, ia juga sangat sukar," tambahnya.