Andres Iniesta memuji aksi tangkas penjaga gol, Marc-Andre ter Stegen, ketika membantu Barcelona mengikat Juventus 0-0 di Turin, sekaligus mengesahkan tempat dalam kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara Eropah.

Pendahulu LaLiga itu mencatat satu mata dalam perlawanan yang menyaksikan pengendali, Ernesto Valverde, melakar kejutan apabila meletakkan bintang utama, Lionel Messi, di bangku simpanan.

Juve tidak memiliki peluang yang banyak tetapi Ter Stegen menampilkan dua aksi terpuji, menafikan percubaan Douglas Costa ketika aksi memasuki minit kedua sebelum menunjukkan reaksi hebat menggagalkan percubaan Paulo Dybala di penghujung perlawanan.

Secara keseluruhan, penjaga gol dari Jerman itu kini telah menyelamatkan 23 daripada 24 percubaan yang tiba ke gawangnya dalam semua kejohanan musim ini, membuatkan Iniesta percaya bahawa Ter Stegen merupakan nadi utama pasukan.

"Kami tahu kualiti Ter Stegen dan dia masih berpeluang untuk terus meningkat," kata Iniesta kepada beIN SPORTS.

"Dia melakukan perbezaan buat Barcelona dalam setiap perlawanan dan kami mencapai objektif hasil daripada bantuannya yang sentiasa meningkat.

"Kami melakukan tugas dengan baik untuk berada di puncak carta, membolehkan kami mencapai matlamat yang ditetapkan sejak perlawanan pertama," tambahnya.

Iniesta diberikan tepukan gemuruh dan seluruh stadium berdiri menghormatinya selepas menampilkan aksi hebat, membuatkannya berasa amat gembira.

"Saya bersyukur di atas sokongan yang diberikan oleh peminat-peminat kepada saya," ujarnya.