Rivaldo percaya bahawa musim ini merupakan musim terakhir Messi bersama Barcelona selepas dikaitkan dengan perpindahan ke Manchester City.

Masa depan Messi terus menjadi topik penting di Barca selepas dia memohon untuk berpindah pada penghujung musim 2019-20.

Bintang dan kapten Barca itu dikhabarkan mahu menyertai pasukan gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), City, sebelum memilih untuk kekal di Sepanyol.

Messi turut dikaitkan untuk menyertai juara Ligue 1, Paris Saint-Germain (PSG) dan Inter Milan dan bekas bintang Barca, Rivaldo, berasakan lembaga pengarah baru kelab itu tidak akan dapat meyakin pemenang enam kali Anugerah Ballon d'Or itu untuk kekal di sana selepas musim 2020-21.

"Barcelona sudah berbincang mengenai pemotongan gaji (disebabkan pandemik koronavirus) dengan pemain dan turut mencuba untuk melakukan pemotongan umum yang tidak dipersetujui pemain, jadi ia bukanlah perkara baru buat pemain," tulis Rivaldo, yang memenangi dua gelaran LaLiga, satu trofi Copa del Rey dan Piala Super UEFA sewaktu di Camp Nou, dalam kolumnya untuk Betfair.

"Tetapi ia memperkuatkan idea bahawa untuk mencapai kesepakatan baru kontrak Messi akan menjadi sukar dengan margin yang dikurangkan dalam kenaikan gaji.

"Sudah pasti Messi akan memperoleh tawaran yang lebih baik daripada kelab lain dan dia sudah mencuba untuk meninggalkan kelab ini hujung musim lalu.

"Saya tidak dapat lihat bagaimana lembaga pengarah akan meyakinkannya untuk melupakan keputusan itu.

"Pada pandangan saya, hanya memenangi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) atau LaLiga musim ini, atau melihat (Ronald) Koeman menjadikan pasukan ini bermain bola sepak dengan cantik, dapat meyakinkan Messi untuk memikirkan kembali keputusannya.

"Malangnya saya gusar ia akan menjadi musim terakhirnya bersama kelab ini," katanya.

Messi kembali ke Barca untuk bermain di bawah ketua jurulatih baru, Koeman, selepas gagal mengatur perpindahannya daripada kelab itu tetapi musim 2020-21 tidak seperti musim-musim terdahulu.

Pemain berusia 33 tahun itu hanya menjaringkan tiga gol daripada tujuh perlawanan LaLiga musim ini dan hanya enam dalam kesemua kejohanan.

Barca pula kini berada di tangga kelapan LaLiga dengan ketinggalan sembilan mata dan akan berkunjung ke laman Atletico Madrid hujung minggu ini.