Pembimbing Jurulatih Program Pembangunan Bolasepak Kebangsaan (NFDP), Datuk Richard Scully, menyifatkan pelantikan Saad Ichalalene sebagai pengarah teknikal program itu merupakan pilihan yang tepat.

Bagi memantapkan program akar umbi bola sepak negara berkenaan, Jawatankuasa Pemandu NFDP memilih Ichalalene berdasarkan pengalamannya dalam program itu sejak 2016 selain pernah menjadi ketua jurulatih Akademi Paris Saint-Germain (PSG).

Pemilihan itu mendapat sokongan penuh Richard yang menganggap pengarah teknikal baru itu mampu meningkatkan kualiti program bola sepak termahal negara berkenaan.

"Saya rasa ia pemilihan yang tepat kerana Saad seorang yang berpengalaman luas.

"Beliau pernah melatih Paris Saint-Germain dan mempunyai pengetahuan yang luas mengenai pembangunan sukan bola sepak.

"Saya rasa ia satu anjakan yang tepat dilakukan oleh MSN (Majlis Sukan Negara) dan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia).

"Dengan kedatangannya, banyak perkara lain boleh direalisasikan," katanya.

Richard, bagaimanapun, berasakan masih banyak yang perlu diperhalusi Ichalalene sebelum menetapkan sebarang sasaran.

Sebelum ini, Ichalalene pernah menyandang jawatan Ketua Bahagian Metodologi Kejurulatihan dan Peninjau Bakat NFDP.

"Selalunya, kalau kita buat takwim, mesti ada hala tuju.

"Sudah tentu ia merupakan impian, hasrat dan cita-cita rakyat Malaysia untuk melihat skuad remaja kita ke hala tuju itu.

"Tetapi untuk ke arah itu, banyak perkara yang perlu dilakukan di setiap peringkat.

"Setiap program akar umbi perlu diperhalusi," tambahnya.