REAL MADRID 2 ARSENAL 2
(Real Madrid menang penentuan penalti 3-2)

Zinedine Zidane menghamburkan pujian terhadap prestasi Gareth Bale yang mencetak gol ke atas Arsenal, namun menegaskan prestasinya itu tidak akan mengubah apa-apa berhubung nasibnya di Real Madrid.


Bale bangkit dari bangku simpanan untuk menyelamatkan maruah Madrid yang di ambang kekalahan apabila ketinggalan 0-2 dalam separuh masa pertama sebelum pemain Wales itu menjaringkan gol untuk mencetuskan inspirasi buat pasukannya merakam keputusan 2-2 dalam pertembungan Piala Juara-Juara Antarabangsa (ICC) 2019 untuk skuad Zidane itu menang 3-2 dalam penentuan penalti di Amerika Syarikat (AS), pagi tadi.

Bayern Munich dilaporkan turut menyasarkan Bale, namun dia melakukan penampilan mengejut di Maryland walaupun Zidane mendakwa khidmat pemain berusia 30 tahun itu sudah tidak diperlukan lagi di Santiago Bernabeu.

Ditanya mengenai prestasi Bale, pengurus itu yang melihat Nacho Fernandez dilayangkan kad kuning ketika permainan baru berusia sembilan minit, memberitahu pemberita: "Dia mempamerkan aksi yang baik dan saya gembira untuknya.

"Dia bersama kami ketika ini dan kami akan terus bekerjasama. Kami bermain dengan baik ketika beraksi dengan 10 pemain menentang 11 pemain dan semakin bagus dalam situasi 10 lawan 10. Saya tidak pasti apa yang akan berlaku, dia mahu bermain dan pada hari yang lain, tidak.

"Saya tidak bercakap dengannya, dia telah berlatih secara normal dan itulah sebabnya dia diturunkan. Tiada yang berubah, anda tahu situasi seperti ini."

Bale mencuri tumpuan dalam babak kedua di FedEx Field di mana Marco Asensio juga mempamerkan prestasi mengagumkan sebelum terpaksa diusung keluar.

Asensio yang masuk sebagai pemain gantian menyamakan kedudukan tiga minit selepas Bale mengurangkan defisit gol pada minit ke-56 sambil The Gunners kehilangan Sokratis Papastathopoulos ekoran mengutip kad kuning kedua ketika menuju waktu rehat.

Bagaimanapun, kelibat Asensio terpaksa disingkatkan ekoran kecederaan lutut sehingga mengundang kebimbangan Zidane.

"Ia agak membimbangkan," kata Zidane.

"Semoga dia tidak mengalami sebarang kecederaan yang serius dan dia akan terus berada di hospital untuk pemeriksaan lanjut. Ia kelihatan agak buruk."