Ketua pasukan Inter, Mauro Icardi, mengulangi kenyataan bahawa dia bahagia di kelab itu apabila bekas produk belia Barcelona berkenaan bersedia untuk kembali ke Camp Nou.

Masa depan Icardi menguasai tajuk utama media di celah-celah minat juara bertahan Liga Juara-Juara (UCL), Real Madrid, gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea, dan bekas pasukannya, Barca.

Kontrak penyerang berusia 25 tahun itu akan berakhir pada 2021 dengan klausa pelepasan €110 juta (RM525.2j).

Bagaimanapun, Icardi berkata dia tenang menjelang perlawanan UCL di Barcelona, ​​di mana pemain antarabangsa Argentina itu menghabiskan kariernya selama tiga musim sebelum menyertai Sampdoria pada 2011.

"Seperti yang saya berkali-kali katakan, saya sangat gembira di Milan, saya rasa sangat gembira di Inter, keluarga saya sangat gembira di Milan dan sekarang saya tidak berniat untuk pergi," kata Icardi dalam sidang akhbar.

"Saya mempunyai beberapa tawaran pada musim panas lalu tetapi ketika ini, saya tidak berasakan ia satu keperluan atau keinginan untuk meninggalkan Milan.

"Bermain untuk akademi Barcelona adalah detik yang sangat penting untuk saya dan kerjaya kerana saya banyak belajar di sini. Saya memulakan karier di sini dan menghadapi mereka sebagai pemain di pentas UCL tidak disangsikan lagi merupakan detik istimewa dan menarik.

"Bagaimanapun, apabila saya mempunyai peluang untuk berhijrah ke Itali bersama Sampdoria, saya tidak perlu berfikir dua kali, ia adalah keputusan yang tepat untuk saya dan ejen."

Inter akan menghadapi Barca yang kehilangan kapten dan pemenang Ballon d'Or lima kali, Lionel Messi.

Messi mengalami kecederaan dalam kemenangan 4-2 LaLiga ke atas Sevilla minggu lalu tetapi jurulatih Inter, Luciano Spalletti, menegaskan juara Sepanyol itu tetap menjadi lawan yang sukar meskipun tanpa penjaring terbanyak sepanjang zaman itu.

"Sudah jelas bahawa pemain yang akan menggantikan Messi nanti mahu membuktikan keupayaan... Messi adalah jenis pemain yang berbeza," kata Spalletti.

"Oleh sebab Messi adalah salah seorang pemain yang walaupun anda fikir anda telah melihat segalanya dalam bola sepak, dia dapat melakukan dengan pendekatan yang baru dan unik. Dia selalu dapat mengelirukan pertahanan lawan.

"Barcelona tetap mantap biarpun (tanpa Messi), mereka tidak gemar bertahan. Mereka memiliki banyak ciri jika mengawal permainan untuk mencari penyelesaian menumbangkan lawan.

"Itulah sebabnya saya fikir tugas kami nanti bukanlah dengan cara menutup ruang dengan merantai seorang atau pemain lain, sebaliknya cuba mengawal permainan.

"Saya tahu ia mungkin menjadi pelik apabila kami menghadapi Barcelona di stadium keramat mereka. Tetapi jika kami berhasrat untuk menang, kami perlu memegang bola lebih lama daripada mereka."