Ibrahimovic perlu waktu rehat

Oleh Muzaffar Musa 9 November 2020 237
Ibrahimovic perlu waktu rehat
Zlatan Ibrahimovic akan menggunakan waktu rehat antarabangsa sepanjang dua minggu ini untuk mengembalikan "ketajaman dan keazamannya" di depan gawang selepas membantu AC Milan mengikat Hellas Verona 2-2 awal pagi tadi.

Pemain berusia 39 tahun itu memastikan pendahulu Serie A berkenaan memperoleh satu mata dengan menanduk masuk gol penyamaan dalam waktu kecederaan selepas jaringan sendiri Giangiacomo Magnani mengurangkan defisit itu susulan jaringan awal Antonin Barak dan Mattia Zaccagni buat Verona.

Sebelum menjaringkan gol penyamaan itu, Ibrahimovic gagal menyudahkan sepakan penalti ketiganya musim ini selain gagal menyempurnakan usaha Davide Calabria kerana ofsaid.

Bekas peyerang LA Galaxy itu hanya dapat melakukan tiga percubaan tepat daripada 14 yang dihasilkan dan disebabkan dia tidak lagi akan mewakili skuad Sweden, Ibrahimovic akan memanfaatkan tempoh rehat dua minggu itu.

"Amat jelas, saya berang kerana keputusan seri ini tidak cukup bagus," katanya kepada Sky Italia selepas Milan kini hanya berkelebihan dua mata ke atas Sossuolo di puncak Serie A.

"Kami memperoleh banyak peluang. Saya gagal dalam sepakan penalti dan saya fikir selepas ini adalah lebih baik jika (Frank) Kessie yang mengambilnya.
 
"Kami akan ke depan dan paling panting adalah kami tidak boleh hilang keyakinan.

"Memikirkan kedudukan liga sekarang, kami mahu memenangi setiap perlawanan.

"Akan ada banyak perlawanan, apabila anda penat, anda tidak sentiasa berada dalam 100 peratus. Nasib baik sudah sampai waktu rehat antarabangsa kerana saya perlukan rehat.

"Saya tiada ketajaman dan keazaman seperti biasa di depan gol. Saya berasa tidak seluruhnya berada di sana," katanya.
 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen