Mats Hummels memuji kecemerlangan Robert Lewandowski ketika menentang Wolfsburg setelah penggempur berkenaan meledak dua gol dan membekalkan umpanan gol untuk membantu Bayern Munich mengakhiri kemarau kemenangan mereka.

Bayern, yang gagal meraih sebarang kemenangan dalam empat perlawanan yang memberi tekanan terhadap pengurus, Niko Kovac, selesa di depan apabila Lewandowski menyumbat dua gol sebelum James Rodriguez memuktamadkan kemenangan 3-1 itu, kelmarin.

Lewandowski mengakhiri kemarau gol Bundesliga sejak 22 September lalu, begitupun Hummels menegaskan bahawa pemain antarabangsa Poland itu sentiasa di kemuncak prestasinya.

"Dia benar-benar luar biasa," kata Hummels kepada laman sesawang rasmi Bundesliga.

"(Dia) seorang pemain yang mempunyai semangat berpasukan tinggi dan licik, dia melakukan pekerjaan yang baik sepanjang musim ini.

"Secara peribadi, saya berasakan tiada perubahan. Apabila saya turun ke padang, saya sentiasa mahu menang.

"Dalam semua situasi, sama ada kami merupakan pasukan pilihan atau tidak, sama ada kami berada di bawah tekanan atau tidak, ia bukannya perbezaan besar."

Kemenangan Bayern itu turut mengakhiri keputusan buruk buat Hummels yang terlibat dalam kekalahan kepada Belanda dan Perancis ketika memperkuatkan Jerman dalam saingan Liga Negara-Negara tempoh hari.

"Ia pasti memberikan kelegaan besar memandangkan saya gagal memenangi enam perlawanan berturut-turut, saya begitu menghargainya," kata pertahanan tengah itu.

"Kami memperagakan aksi yang menarik, mungkin ia tidak sempurna tetapi kami mempunyai segala-galanya."