Setiausaha Agung, Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Windsor Paul, mengesahkan hukuman yang dikenakan terhadap pertahanan negara, Aidil Zafuan Abdul Radzak, boleh dirayu.

Aidil digantung empat perlawanan dan didenda RM21,000 oleh AFC selepas melakukan kekasaran terhadap pengadil ketika menentang Hong Kong dalam kelayakan Piala Asia 2019 di Melaka, 5 September lalu.

Aidil, yang dilayangkan kad kuning kedua, dilihat menolak tangan pengadil, Christopher Beath, sebagai tanda bantahan selepas pengadil dari Australia itu menghadiahkan sepakan penalti pada minit akhir perlawanan.

Menurut Windsor, semua keputusan Jawatankuasa Disiplin AFC boleh dirayu mengikut tempoh yang ditetapkan.

"Jawatankuasa Rayuan ada tiga pilihan, pertama, mengekalkan hukuman; kedua, boleh meringankan dan ketiga, boleh menambah. Jawatankuasa Rayuan ini bebas berbanding Jawatankuasa Disiplin.

"Ia bergantung sepenuhnya kepada mereka sendiri, ia melihat kepada kes sebagai jawatankuasa yang baru. Tiada kena mengena dengan keputusan yang lama," katanya.

Aidil dikenakan hukuman mengikut peruntukan dalam Artikel 50, Kod Disiplin dan Etika AFC di atas kesalahan mencemarkan perlawanan oleh Jawatankuasa Disiplin dan Etika AFC, semalam.

Setakat ini, AFC belum menerima sebarang rayuan daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung penggantungan itu.

Aidil bakal terlepas empat perlawanan antarabangsa, termasuk perlawanan menentang Korea Utara dalam saingan Kumpulan B, kelayakan Piala Asia 2019 pada 5 Oktober nanti.