PSG 4 MARSEILLE 0

Ketua jurulatih Paris Saint-Germain (PSG), Thomas Tuchel, menegaskan Classique perlu dihormati sebagai tindak balas kepada ulasan Andre Villas-Boas selepas Marseille tewas 4-0 dalam saingan Ligue 1.


Juara bertahan Ligue 1, PSG, mudah mengatasi Marseille 4-0 di Paris semalam dengan dua jaringan daripada dua bintang, Mauro Icardi dan Kylian Mbappe.

Ini merupakan aksi pertama Classique bagi musim ini, di mana gergasi Perancis, PSG, kini mendahului carta liga dengan lapan mata.

Sebelum perlawanan, pengurus Marseille, Villas-Boas, menegaskan kekuatan kewangan PSG berada dalam "liga berbeza" manakala menegaskan aksi di Parc de Princes itu tidak penting kepadanya.

Ditanya adakah dia menyesal tidak meletakkan lebih banyak tekanan ke dalam permainan itu, Villas-Boas memberitahu Canal +: "Tidak, saya tidak berasa ia diperlukan. Kami tidak memerlukan tekanan.

"Thomas Tuchel boleh menghasilkan apa yang beliau mahu, dengan skuad yang dimiliki, bajet pasukan yang besar... Bagi saya, dia boleh fokus kepada saingan Liga Juara-Juara (UCL)."

Membalas kepada bekas jurulatih Chelsea, Porto dan Zenit itu, Tuchel berkata, "Ini merupakan perlawanan bersejarah di Perancis, kami perlu menghormatinya. Ia bukanlah satu pertemuan yang biasa, perlawanan ini untuk bandar Paris. Kelebihan atau tidak, kami perlu menang, menampilkan kualiti kami.

"Segalanya boleh berlaku dalam bola sepak.

"Kami menghormati sejarah, menghormati bola sepak. Berdepan Marseille, anda perlu bermain dengan sepenuh hati."