Hodak: Isu padang latihan hanya masalah kecil

Oleh Staff Writer 3 Julai 2018 100
Hodak: Isu padang latihan hanya masalah kecil
Jurulatih skuad B-19 negara, Bojan Hodak, menganggap masalah komunikasi menjadi punca Malaysia terpaksa menjalani tempoh latihan yang lewat daripada jadual asal seperti yang telah ditetapkan pihak penganjur.

Sebaik sahaja bas rasmi skuad kebangsaan tiba di tempat latihan Padang Sier, barisan pemain Kemboja sedang menjalani sesi latihan akhir mereka di padang yang sama.

Ia melanggar jadual asal yang diterima barisan kejurulatihan negara di mana Malaysia dijadualkan menjalani latihan di padang yang sama di sebelah petang manakala Kemboja sepatutnya pada waktu pagi.

"Ini adalah satu kesilapan kecil dalam komunikasi tetapi saya tidak pasti ia salah siapa. Bagaimanapun, ia membuatkan sesi latihan kami lewat 15 minit," ujarnya.

Hodak tidak mahu perkara itu mengganggu konsentrasi pemain dan menganggapnya sebagai satu perkara biasa yang mampu berlaku kepada semua pasukan.

Malaysia tetap tenang menjalani sesi latihan akhir mereka di Padang Sier sebagai persediaan akhir sebelum aksi pertama Kejohanan AFF menentang Kemboja, esok.

"Hari ini adalah sesi terakhir dan kami hanya melalui latihan ringan. Secara ringkas, kesebelasan utama telah dikenal pasti.

"Kemboja bermain baik dalam aksi pertama dan kami hanya perlu fokus dan bersedia," tambahnya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen