Jurulatih skuad B-19 negara, Bojan Hodak, sudah memiliki 23 nama pemain yang akan dihantar ke Konfiderasi Bolasepak Asia (AFC) sebagai senarai akhir untuk ke Kejohanan AFC B-19 tahun.

Senarai 23 nama yang dimaksudkan akan dihantar ke AFC selewat-lewatnya Isnin ini, namun Hodak tidak berhasrat untuk melakukan sebarang pengumuman.

Alasan beliau enggan melakukan sedemikian adalah kerana masih memiliki lima nama yang tidak berada dalam perancangan di Jakarta, namun masih ada peluang untuk mereka sekiranya berlaku kecederaan dalam kalangan pemain utama.

"Saya akan menghantar nama-nama pemain ini kepada AFC dan enggan mendedahkannya bagi memastikan setiap pemain kekal fokus dalam sesi latihan," kata Hodak.

Dalam aksi berdepan skuad Qatar B-19 tahun, Malaysia tewas 1-3 kepada tuan rumah, namun secara keseluruhan Hodak berpuas hati dengan prestasi anak buahnya.

Jaringan tunggal terhasil daripada Nik Akif Syahiran Nik Mat menerusi sepakan penalti dan dalam 45 minit pertama, Malaysia berjaya mengikat kedudukan 1-1 sebelum Hodak meneruskan pertukaran pemain lain untuk dinilai prestasi mereka bagi tujuan pemilihan senarai 23 pemain.

"Saya berpuas hati dengan persembahan pasukan dan memiliki bayangan skuad 23 pemain yang bakal bersaing dalam Kejohanan AFC B-19 tetapi terdapat beberapa pemain yang baru sahaja pulih daripada kecederaan dan saya akan terus memantau persembahan mereka."