FRANKFURT 0 BAYERN MUNICH 1

Pengendali Bayern Munich, Jupp Heynckes, berpuas hati dengan persembahan pasukannya selepas berjaya terus berada di persada Bundesliga dengan kemenangan 1-0 ke atas Eintracht Frankfurt, semalam.


Pendahulu liga itu hanya menjaringkan gol menerusi satu-satunya percubaan ke arah pintu gol lawan di Commerzbank-Arena apabila Arturo Vidal menanduk masuk hantaran Joshua Kimmich pada minit ke-20.

Bayern, yang gagal mempamerkan aksi cemerlang, terutama sekali ketika menyerang, berjaya memastikan tiga mata diraih dengan merekodkan kemenangan ketujuh dalam saingan liga sejak Heynckes kembali mengemudi The Bavarians.

Kemenangan tersebut, digabung dengan keputusan seri dengan RB Leipzig dan Mainz, memberikan kelebihan mata kepada Bayern dengan berbaki dua perlawanan sebelum saingan Bundesliga berehat seketika pada musim sejuk.

"Perkara yang paling penting buat Bayern adalah terus mencipta kemenangan dan itu adalah sasaran kami.

"Ia merupakan perlawanan yang sukar tetapi kami berjaya mencipta kemenangan," kata Heynckes.

Pengendali Frankfurt, Niko Kovac, pula mendedahkan kekecewaannya selepas persembahan cemerlang pasukannya diakhiri dengan kekalahan.

"Pasukan saya telah bermain dengan baik," katanya. "Kami memberikan yang terbaik sejak awal hingga penamat perlawanan. Kami berhak meraih lebih lagi daripada kekalahan ini.

"Kami membuktikan pasukan ini mampu bersaing. Kami akan terus melihat ke hadapan untuk perlawanan akan datang," ujarnya.