CELTIC 1 BAYERN MUNICH 2

Jupp Heynckes berasakan Bayern Munich akan menamatkan saingan Kumpulan B di tempat kedua selepas berhempas-pulas untuk meriah kemenangan 2-1 ke atas Celtic bagi menjamin kelayakan ke pusingan 16 akhir Liga Juara-Juara Eropah di Glasgow, awal pagi tadi.


Tandukan Javi Martinez memastikan kemenangan tipis untuk juara Bundesliga itu, yang beraksi tanpa Robert Lewandowski dan Thomas Muller akibat kecederaan, selepas Callum McGregor mengimbangi jaringan pembukaan Kingsley Coman.

Dengan kemenangan itu, Bayern mengesahkan tempat dalam pusingan seterusnya tetapi selepas pendahulu, Paris Saint-Germain, membelasah Anderlecht 5-0, untuk skuad dari Perancis itu kekal berkelebihan tiga mata di puncak Kumpulan B.

"Saya tahu hari ini akan menjadi perlawanan yang sangat sukar," kata Heynckes. "Kami mempunyai jadual yang sibuk baru-baru ini dan bekerja keras dalam latihan. Tetapi itu normal.

"Saya fikir pasukan bermain dengan baik tetapi Celtic mempunyai fasa di mana mereka menyerang kami secara agresif dan menyebabkan kami menghadapi masalah.

"Sabtu lalu, kami mempunyai perlawanan sukar dengan pasukan teratas (mengalahkan RB Leipzig 2-0 dalam Bundesliga) dan hari ini kami mempunyai satu lagi perlawanan sukar. Sudah tentu ia memerlukan banyak tenaga daripada pemain.

"Adalah penting untuk kami layak tetapi ia sukar untuk menduduki puncak kumpulan kerana rekod pertemuan (tewas 3-0 kepada PSG di Paris)," katanya lagi.

Celtic kekal di tempat ketiga dalam kumpulan selepas kekalahan itu dan pengurus, Brendan Rodgers, menyasarkan untuk menundukkan Anderlecht bagi memburu kelayakan ke Liga Europa selepas melihat peluangnya untuk mara sangat tipis.

"Ia satu langkah besar untuk keyakinan kami ," kata Rodgers. "Selain daripada dua gol, pertahanan kami sangat baik. Kami bermain dengan baik pada saat-saat yang tepat. Ketika kami memiliki bola, kami sentiasa berjaya mencari ruang dan bermain dengan sangat baik.

"PSG akan menjadi ujian besar bagi kami tetapi apabila kami kembali ke sini (menentang Anderlecht dalam perlawanan keenam), kami mahu beraksi di pentas Eropah selepas Krismas. Jika kami boleh melakukannya, itu adalah ukuran baik bagaimana pemain bermain.

"Kekecewaan membuatkan kami untuk berfikir bagaimana kami bermain, tahap prestasi kami, ketenangan dan kualiti kami hari ini.

"Mereka (Bayern) berkelas dunia. Kami bolos dua gol ... anda dihukum pada tahap ini. Kami kelihatan seperti pasukan yang tersusun. Kami kecewa kerana kalah, namun kami berkembang sebagai satu pasukan," hujahnya.