DIJON 2 MONACO 2

Thierry Henry sedar pasukannya berada dalam keadaan "rumit" tetapi percaya AS Monaco boleh bersikap positif susulan keputusan seri 2-2 dalam pertemuan Ligue 1 di gelanggang lawan, Dijon.


Kamil Glik menjaringkan gol ketika 12 minit menuju akhir perlawanan untuk menyelamatkan satu mata buat Monaco dalam aksi awal pagi tadi. Mereka, bagaimanapun, keluar daripada zon penyingkiran melalui perbezaan gol.

Henry belum menikmati kemenangan dalam tugasan pertamanya sebagai pengurus setelah tumpas 1-2 kepada Strasbourg dan seri 1-1 dengan Club Brugge dalam kempen Liga Juara-Juara.

Namun, meskipun 10 perlawanan Monaco berlarutan tanpa kemenangan dalam saingan Ligue 1 yang menjadi pencapaian terburuk kelab sejak 1986, Henry cenderung untuk melihat kecemerlangannya.

"Keadaan ini rumit, ya," kata Henry dalam sidang akhbar.

"Tiga minggu lalu, kami boleh kalah dalam perlawanan ini. Kami juga bertindak balas tetapi ada juga sisi yang positif.

"Kami mengulangi rentak dalam separuh masa kedua. Dalam kedudukan 2-1, kami mula memahami bahawa kami terpaksa mengasak lebih pesat lagi.

"Saya perlu kekalkan perkara positif berbanding negatif, termasuk kehilangan (Nacer) Chadli ketika memanaskan badan. Kami tidak kalah di Bruges, bukan pada hari ini," katanya.

Naib Presiden, Vadim Vasilyev, mengakui Monaco yang memenangi gelaran Ligue 1 pada musim 2016-17 di bawah pengurus sebelumnya, Leonardo Jardim, bergelut untuk mengelak penyingkiran.

"Ia tidak cukup, terutama apa yang saya lihat dalam tempoh 60 minit pertama, kami berada dalam bahaya," katanya kepada pemberita.

"Hanya kerana kelab ini dikenali sebagai Monaco bukanlah bermaka kami pasti akan keluar daripada situasi ini. Ia hanya boleh dilakukan melalui kesedaran tentang betapa seriusnya situasi ini, baik secara individu mahupun kolektif serta tindak balas diperlukan melalui kerja dan cara berfikir.

"Saya sedar keadaan ini. Kami berusaha dengan baik, kami semua menikmati gaji yang baik dan kami semua ada di sini kerana kami mahu membawa kelab ini terus ke hadapan.

"Saya bertanya kepada semua orang -- bukan setakat pemain yang hadir (di padang), bahkan seluruh pasukan -- untuk mengetahui betapa seriusnya keadaan ini dan berusaha keras untuk memperbaiki diri.

"Kami akan bergantung kepada pemain yang mempunyai keinginan dan kebanggaan untuk menyarung jersi merah dan putih ini.

"Ini bukan kedudukan yang layak untuk kami. Kami tidak mempunyai alasan, kelab ini patut berada di kedudukan yang lebih baik dan tugas kami adalah untuk memperbaiki kelab ini," katanya.