Eden Hazard akan menemui sentuhan bersama Real Madrid tetapi Zinedine Zidane memberi amaran dia akan kekal menjadi sasaran pemain lawan.

Bekas bintang Chelsea itu tidak mencapai tahap dijangkakan sejak tiba di ibu kota Sepanyol, Jun tahun lalu.

Selepas menyinar di Stamford Bridge, bintang Belgium itu mengharungi kempen LaLiga diselubungi kecederaan dan menjalani pembedahan buku lali, Mac lalu.

Sejak kembali daripada penangguhan liga akibat wabak coronavirus, Hazard telah digantikan dalam empat perlawanan yang menyaksikan dia mengisi kesebelasan utama tetapi tetap menerima beberapa asakan lawan.

Pengendali Real, Zidane, yang mengemudi pasukannya mengungguli takhta LaLiga menjelang pertemuan dengan Getafe pada awal pagi esok, tidak berdepan masalah dengan cara lawan mengawal pergerakan Hazard tetapi yakin pemain berusia 29 tahun itu akan mencapai tahap terbaik.

"Dia sangat bagus dan lawan tahu tentangnya," kata pengurus itu.

"Namun, saya tidak melihat sebarang usaha mencederakannya.

"Kami perlu tenang dengan Hazard. Dia berehat lama dan anda perlu memberi ruang kepadanya.

"Dia akan berada dalam keadaan baik."

Pemain lain yang tidak beraksi di tahap terbaik pada musim ini adalah James Rodriguez.

Bintang Colombia itu telah mendedahkan rasa kesalnya ekoran kekurangan waktu permainan di Santiago Bernabeu dan Zidane faham perasaan itu.

"Rodriguez mendedahkan sesuatu yang benar," tambahnya.

"Dia mahu beraksi dan itu normal. Saya faham.

"Namun, kami akan berusaha seperti ini sehingga pengakhirannya."