ATALANTA 0 LIVERPOOL 5

Jurgen Klopp mempertahankan kelibat Roberto Firmino selepas Diogo Jota melakar hatrik ketika menggantikan tempatnya dalam kemenangan bergaya 5-0 Liverpool di Atalanta.


Firmino hanya sekali merekodkan jaringan dalam 11 penampilan musim ini, lantaran itu sekadar dimasukkan sebagai pemnain simpanan dalam kunjungan Liga Juara-Juara (UCL) ke Bergamo, awal pagi tadi.

Hasratnya untuk kembali merebut tempat dalam kesebelasan utama mungkin semakin berliku berikutan hatrik yang dicipta muka baru, Jota, yang diberi peranan untuk membentuk tiga penyerang serangkai.

Pemain muda dari Portugal itu kini telah mencetak sembilan gol dalam pertandingan Eropah sejak musim lalu -- enam jaringan buat Wolves dan tiga lagi bersama Liverpool -- jumlah tertinggi berbanding mana-mana pemain kelab Inggeris sepanjang tempoh ini.

Dia turut muncul sebagai penjaring hatrik ke-10 The Reds dalam Piala Eropah/UCL, individu kesembilan yang melakukannya sementara Graeme Souness melakukannya lebih daripada sekali.

Begitupun, di sebalik Klopp mengakui peranan berbeza dalam komposisi pasukannya, dia menolak beberapa penilaian keras terhadap prestasi Firmino.



"Persembahan yang baik tidak pernah membuat saya sakit kepala. Untuk malam ini, itulah keputusannya," katanya.

"Sudah jelas ia satu tindakan yang tepat untuk mengetengahkan Diogo sambil dibantu pendekatan Atalanta, jadi kemahiran Diogo dalam perlawanan ini adalah masuk akal.

"Tetapi, ia tidak membuktikan apa-apa. Dunia kadang-kadang adalah tempat yang sangat buruk sehingga pada saat seseorang itu menyinar, kita akan segera mengalihkan perhatian kepada pemain lain -- seakan-akan dia telah terbabit dalam 500 perlawanan berturut-turut.

"Saya pula terpaksa menjelaskan mengapa dia tidak berada dalam pasukan atau bersama pasukan.

"Ramai orang di dunia ini, jika anda bertanya kepada mereka apa yang membuat Liverpool istimewa dalam masa-masa tertentu, mereka akan mengatakan gaya permainan Firmino. Dia, pada hari yang baik, tidak perlu turun bertahan.

"Bagi kami, apa yang penting ialah memiliki lebih daripada 11 pemain dan malam ini Diogo memperagakan aksi terbaiknya dengan cara yang luar biasa dan beraksi hebat, tetapi itu tidak membuktikan apa-apa mengenai Bobby atau dilema pemilihan pemain.

"Saya lebih gembira melibat persembahan kami pada malam ini."

Berikutan Fabinho menyertai Virgil van Dijk di bilik rawatan sementara Joel Matip baru sahaja pulih, pengurus berbangsa Jerman itu mengetengahkan Rhys Williams buat julung kalinya dalam UCL dan pertahanan tengah berkenaan jarang menimbulkan masalah.

"Rhys adalah luar biasa. Saya tidak dapat membayangkan diturunkan dalam perlawanan profesional kedua untuk kempen UCL selain perlu mengekang Duvan Zapata dan (Luis) Muriel.

"Jika saya sendiri., saya pasti gementar sebaliknya dia tidak. Ia amat membantunya. Tetapi, prestasi pertahanan kami seperti biasa dan kekentalan mereka malam ini sungguh luar biasa."