Jurulatih RB Leipzig, Ralph Hasenhuttl, percaya pasukannya berpeluang untuk meraih gelaran juara Bundesliga menjelang aksi bertemu Bayern Munich.

Jika musim lalu Liga Perdana Inggeris (EPL) telah dikejutkan oleh Leicester City yang menjulang takhta liga mengetepikan kelab-kelab gergasi England, Hasenhuttl berasa pasukannya mampu mengambil inspirasi itu dan melakukannya walaupun bakal berdepan tugas getir berdepan juara bertahan, Bayern Munich, pada Khamis.

"Pengarah sukan RB Leipzid, Ralf Rangnick, telah memberitahu kepada semua bahawa segalanya mampu dilakukan," katanya.

"Saya berasakan saingan liga musim ini lebih mencabar kerana kami telah bermain dengan baik.

"Kami hanya tewas sekali, seri dalam tiga perlawanan dan berkongsi mata dengan Bayern, 10 mata di depan Borusia Dortmund dan 20 mata di depan pasukan yang masih bersaing dalam Liga Juara-Juara.

"Jika anda mahu berada di hadapan Bayern, anda perlu bermain dengan sempurna.

"Perlawanan berdepan Bayern ini akan menunjukkan setiap kekurangan kami. Kami mahu melihat sejauh mana perkembangan kami dan cuba memperbaikinya.

"Perlawanan ini tidak akan mengubah strategi kami bagi menghadapi baki saingan liga untuk musim ini.

"Saya menantikan perlawanan ini, kami telah membuat persiapan yang rapi dan berharap segalanya berjalan lancar."