Bintang Brazil dan Barcelona, Neymar, memberi penghormatan kepada mangsa nahas pesawat yang melibatkan pasukan Chapecoense.

Pihak berkuasa mengesahkan 71 orang maut selepas pesawat itu terhempas ketika dalam penerbangan dari Bolivia ke Colombia semalam, selain mendapati empat yang lain tidak menaiki pesawat tersebut.

Rombongan pemain, kakitangan dari Chapecoense dan juga wartawan yang membuat liputan untuk pasukan itu, berada di atas pesawat berkenaan.

Kelab Serie A Brazil itu dijadualkan untuk bermain dalam perlawanan pertama final Copa Sudamericana menentang Atletico Nacional di Stadium Atanasio Girardot, Medellin, hari ini.

Neymar, bintang terbesar Brazil, adalah antara beberapa pemain bola sepak yang meluahkan kesedihan selepas berita nahas itu tersebar.

"Mustahil dapat mempercayai tragedi ini, mustahil dapat mempercayai ia berlaku dalam kejohanan itu, mustahil dapat mempercayai pesawat itu terhempas, mustahil dapat mempercayai bahawa atlet, manusia berada di dalam pesawat ini, mustahil dapat mempercayai bahawa orang-orang berkenaan meninggalkan keluarga mereka," tulis Neymar dalam akaun Instagram miliknya.

"Hari ini dunia menangis tetapi syurga bergembira dengan menerima juara. Perasaan saya adalah (bersama) semua keluarga dan rakan-rakan (mangsa)."