Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ghani Hassan, mengesahkan semua pasukan Liga Super dan Liga Perdana kecuali Sarawak United sudah mengisytiharkan bajet untuk tahun pertama pelaksanaan program kawalan ekonomi (ECP).

MFL memperkenalkan ECP sebagai usaha menangani masalah kewangan pasukan, khususnya hutang dan tunggakan gaji pemain.

Ia dikuatkuasakan mulai musim ini dan semua pasukan yang terlibat dalam Liga Malaysia perlu mengemukakan bajet kepada MFL.

Tanggal 9 Januari lalu ditetapkan sebagai tarikh akhir dan pelaksanaan badan pentabdir Liga Malaysia itu mendapat sokongan hampir semua pasukan.

"Kami sudah menilai bajet yang dihantar oleh setiap pasukan, jadi kami sudah tahu jumlah yang perlu dan akan dibelanjakan oleh mereka. Macam saya kata tadi, setiap pasukan utama Liga Super dan Liga Perdana akan dimaklumkan jumlah yang sepatutnya dibelanjakan awal minggu depan," katanya.

Bagaimanapun, setiap pasukan masih belum bebas daripada tuntutan syarat ECP apabila MFL menetapkan Mac 2020 sebagai tarikh akhir untuk setiap pasukan menghantar dokumen sokongan membabitkan bajet musim ini.

"Peringatan akan diberikan kepada mereka kerana telah melanggar peraturan. Mungkin ada hukuman, terpulang kepada lembaga pengarah MFL."




Editor: Nafis Abdullah