Penjaga gol pasukan negara, Hafizul Hakim Khairul, bersedia mengulangi aksi cemerlangnya ketika menentang Hong Kong 5 September lalu apabila Malaysia sekali lagi berdepan lawan sama dalam kelayakan Piala Asia di Stadium Hong Kong, malam ini.

Hafizul muncul wira ketika kedua-dua pasukan terikat 1-1 di Stadium Hang Jebat, Melaka kerana menyelamatkan sepakan penalti lawan pada masa kecederaan.

Kini, pemain kelahiran Ipoh itu mengakui berasa lebih yakin selaku benteng akhir skuad negara jika diberi kepercayaan oleh jurulatih pasukan, Nelo Vingada.

"Saya menganggap perlawanan di Melaka sebagai satu semangat untuk saya kerana ia adalah perlawanan pertama saya di peringkat antarabangsa dan saya telah memberikan persembahan yang baik.

"Dalam perlawanan esok (malam ini), Insya-Allah, saya akan melakukan yang lebih baik daripada sebelum ini," katanya.

Dalam pada itu, Hafizul turut melahirkan keyakinan dengan kemampuan rakan sepasukan di posisi pertahanan.

Katanya, sesiapa saja yang diturunkan mampu menggalas tugas dengan baik berdepan Hong Kong.

"Siapa sahaja yang diturunkan di bahagian itu boleh memberikan yang terbaik kerana bagi saya, semua pemain mempunyai kualiti mereka sendiri, ada kelebihan tersendiri.

"Cuma saya perlu memperbaiki lagi komunikasi di antara saya dan mereka."

Malaysia memburu kemenangan pertama selepas hanya mengutip satu mata dan berada di tempat tercorot Kumpulan B.

Sementara itu, Lubnan yang sedang mendahului kumpulan akan menentang pesaing terdekat, Korea Utara, di Beirut, malam ini.