Penyerang muda skuad B-22 kebangsaan, Hadi Fayyadh Abdul Razak, akan kekal beraksi bersama Kelab Divisyen Dua, Liga Bolasepak Profesional Jepun (Liga J), Fagiano Okayama, bagi tempoh setahun lagi.

Pengarah Urusan Yakult (Malaysia) Sdn Bhd, Hiroshi Hamada, berkata syarikatnya sedia menyambung penajaan pemain itu kerana mendapati pemain itu mempunyai potensi besar untuk menyinar pada masa depan.

Katanya, bekas tonggak Johor Darul Ta'zim (JDT) II itu telah menunjukkan komitmen yang baik sepanjang sesi latihan selama setahun dengan kelab tersebut.

“Dia telah menunjukkan persembahan yang baik dan dia baru berumur 19 tahun. Saya percaya bakatnya boleh digilap untuk menjadi pemain yang lebih baik. Kecederaannya tahun lalu dan masalah bahasa menjadi kekangan kepadanya untuk menunjukkan bakat.

“Saya percaya ia boleh diperbaiki dan kebanyakan pemain dalam Liga J menunjukkan persembahan terbaik pada umur 21 dan 22 tahun,” katanya dalam sidang media di Akademi Mokhtar Dahari, Kuantan hari ini.

Hamada menambah pihaknya juga akan terus menaja pemain berpotensi itu sebagai tanda kepercayaan dan sokongan kepada pemain kelahiran Kuala Lumpur itu yang disifatkan sebagai pelaburan jangka panjang untuk sukan bola sepak, termasuk di Jepun.

Sementara itu, Hadi Fayyadh mengakui meskipun persembahannya musim lalu tidak konsisten, dia masih optimis mampu menyinar di Negara Matahari Terbit itu dengan sokongan padu keluarga, Yakult Malaysia dan kelab yang diwakilinya.

"Persembahan saya musim lalu ada naik turun, terutama ketika mengalami kecederaan selama dua bulan selain sedang cuba menyesuaikan diri di sana.

"Tetapi tiada yang mustahil untuk saya bangkit dan merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan. Saya juga sudah tahu apa yang dikehendaki oleh jurulatih dan akan berusaha memenuhi jangkaannya," katanya.

Hadi Fayyadh masih tetap berlatih walaupun dalam tempoh berehat bagi memastikan dirinya tetap cergas agar tidak sukar untuk mengejar keupayaan rakan sepasukan sekembalinya ke Jepun.

-- BERNAMA