Erling Haaland mahu memenangi trofi bersama Borussia Dortmund dan tidak memikirkan mengenai perpindahannya daripada kelab itu, kata bapanya, Alf-Inge Haaland.

Dortmund memenangi perebutan untuk mendapatkan Erling Haaland daripada Salzburg pada Januari lalu dan dia mencuri tumpuan dalam musim pertamanya di Signal Iduna Park dengan menjaringkan 27 gol daripada 29 penampilan dalam kesemua kejohanan buat kelab itu.

Pemain kebangsaan Norway itu mempunyai peratusan penyudahan peluang (62.5 peratus) yang lebih tinggi berbanding Robert Lewandowski (53.9 peratus) dalam Bundesliga musim ini walaupun penyerang Poland itu menjaringkan lebih lima gol dengan jumlah perlawanan sama (enam).

Pemain berusia 20 tahun itu terus dikaitkan untuk menyertai kelab-kelab besar Eropah yang lain tetapi Alf-Inge Haaland menegaskan perkara itu tidak pernah dibincangkan.

"Apabila anda bermain baik, ia sesuatu yang logik untuk kelab besar mengetuk pintu anda tetapi kita sedang bercakap mengenai spekulasi," katanya kepada SPORT1.

"Buat masa ini, tiada dalam fikiran Erling atau saya bahawa kelab lain akan bersaing untuk mendapatkannya.

"Kami menandatangani kontrak jangka panjang bersama Dortmund dan mereka pasukan yang hebat buat Erling ketika ini. Kami tidak mahu melihat terlalu jauh," katanya.

Di tanya sama ada jendela perpindahan kali ini akan memungkinkan perpindahan anaknya atau tidak, dia menambah: "Kita tidak akan tahu apa yang akan terjadi. Kami masih belum berbincang mengenai langkah seperti itu.

"Saya fikir kami mahu memenangi beberapa trofi bersama Dortmund. Itulah sasarannya.

"Erling masih boleh mencapai banyak perkara di Jerman dan berkembang dengan amat hebat. Berpindah ke luar negara bukanlah satu keperluan buat kami.

"Adakalanya saya berfikir dia mahu dan boleh menyertai mana-mana liga.

"Buat masa ini, dia gembira dalam Bundesliga dan fokus kepada Dortmund.

"Dia hanya mahu menjadi pemain yang lebih bagus dan tidak melihat terlalu jauh," katanya lagi

Dortmund tewas 2-3 kepada Bayern Munich dalam Bundesliga sebelum waktu rehat antarabangsa dan akan meneruskan aksi dengan menentang Hertha Berlin di laman lawan hujung minggu ini.