Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, mengakui beliau tidak pasti sama ada pasukannya sudah bersedia untuk memenangi Liga Juara-Juara (UCL).

Guardiola memimpin City ke suku akhir UCL musim lalu, hampir menyamai pencapaian terbaik, iaitu mara ke separuh akhir pada musim 2015-16.

City merupakan antara pilihan untuk memberikan cabaran dalam saingan Eropah tetapi Guardiola menambah bahawa bekas-bekas pemenang dalam kejohanan tersebut mempunyai peluang yang lebih besar.

"Kejayaan City yang paling besar dalam UCL adalah mara ke separuh akhir," katanya.

"Saya tidak tahu sama ada pasukan sudah bersedia. Ia adalah perkara yang sebenar, saya tidak tahu. Kami tidak mempunyai sejarah tetapi keyakinan akan menjadi bekalan.

"Ia bukan mengenai jurulatih, pemain-pemain, kelab atau penyokong. Ia mengenai kepercayaan untuk memenangi perlawanan.

"Buat masa ini, pasukan pilihan saya yang bakal muncul juara adalah Real Madrid, Barcelona dan beberapa pasukan lagi.

"Saya percaya inisiatif Juventus membeli Cristiano Ronaldo adalah mahu menunjukkan bahawa musim ini mereka meletakkan sasaran untuk menjuarai UCL. Mereka telah mara ke final dua kali dan semakin hampir memenanginya.

"Atletico Madrid bakal beraksi di laman sendiri. Pasukan yang cemerlang dalam beberapa musim ini dan kami berharap City turut dapat menampilkan persembahan yang sama," tambahnya.

City menghuni tangga kedua Kumpulan F selepas dua perlawanan UCL musim ini.