Guardiola puji Foden, Mendy selepas benam Zagreb

Oleh Staff Writer 12 Disember 2019 103
Guardiola puji Foden, Mendy selepas benam Zagreb
DINAMO ZAGREB 1 MANCHESTER CITY 4

Pep Guardiola memuji Phil Foden dan Benjamin Mendy selepas kedua-dua pemain itu mencuri tumpuan ketika Manchester City menewaskan Dinamo Zagreb 4-1 dalam Liga Juara-Juara Eropah di Stadium Maksimir awal pagi tadi.


Gabriel Jesus menjaringkan hatrik untuk City, yang sudah lebih awal layak ke pusingan 16 dalam saingan Kumpulan C itu, apabila bangkit daripada ketinggalan satu gol dan melengkapkan rekod tanpa kalah sepanjang kempen itu.

Bagaimanapun, Foden, yang menjaringkan gol terakhir City, muncul pemain paling menyerlah dalam penampilannya yang ke-50 buat kelab itu.

Ketika Guardiola ditanya dalam sidang media selepas perlawanan sama ada apa yang ditampilkan Foden itu merupakan "sesuatu yang bebeza" buat pemain berusia 19 tahun berkenaan, pengurus itu tersenyum sambil menjawab: "Seperti kebiasaan."

Guardiola menambah: "Saya fikir apabila dia menghampiri kotak penalti, dia lebih berbahaya berbanding jika dia jauh dari kawasan itu.

"Saya fikir dia masih perlu mempelajari beberapa perkara ketika jauh (dari kotak penalti)... rentak dan ruang.

"Dan apabila dia menghampiri kotak penalti, dia boleh menyerang pertahanan tengah, menyerang gawang lawan dan dia memang pemain yang amat berbahaya.

"Jadi, dia sekali lagi bermain dengan amat-amat baik. Amat-amat baik," ulanginya.

Mendy bergelut untuk mencari kecergasan terbaik sepanjang berada di City tetapi Guardiola turut kagum dengan apa yang dipamerkan bekas pertahanan Monaco itu dengan berkata: "Dia menunjukkan aksi terbaiknya sepanjang musim ini."

Bagaimanapun, bekas pengurus Barcelona itu enggan mendedahkan sama ada Mendy boleh dikira sebagai pilihan utamanya di posisi pertahanan kiri dengan Angelino dan Oleksandr Zinchenko turut bersaing merebut posisi itu.

"Mereka perlu bersaing dan saya akan membuat keputusan itu.

"Angelino, apabila dia beraksi, terutama dalam perlawanan sukar di Anfield, dia amat hebat.

"Kita tahu kualiti yang dimiliki Oleks (Zinchenko) dan sudah pasti Mendy mempunyai kelebihan fizikal apabila dia benar-benar cergas.

"Terutama apabila minda dan pemikirannya berada di haluan yang betul, dia pemain yang amat luar biasa," katanya lagi.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen