Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, menafikan dakwaan mengatakan pasukannya menjadi pilihan untuk memenangi Liga Juara-Juara Eropah.

City tidak kalah sepanjang 18 perlawanan dalam semua pertandingan musim ini, memegang kelebihan lapan mata di puncak Liga Perdana Inggeris dan sudah melayakkan diri ke pusingan 16 dalam Liga Juara-Juara.

Menjelang kunjungan Feyenoord awal pagi nanti, Guardiola berkata ia bagus untuk pasukannya berada dalam kelompok elit Eropah -- tetapi menjelaskan mereka memiliki banyak tugas yang perlu dilakukan.

"Bagi Manchester City, satu pasukan yang masih memerlukan pencapaian di Eropah, itulah kemenangan besar," kata jurulatih Sepanyol itu.

"Itu tidak bermakna kami menjadi pasukan pilihan untuk memenangi Liga Juara-Juara tetapi ia bagus.

"Ia bermaksud kami melakukan beberapa tugas dengan baik. Tetapi jelas, orang biasanya mengatakan pasukan kegemaran adalah Barcelona, ​​Bayern Munich, Real Madrid dan lain-lain.

"Diletakkan sebagai pasukan pilihan adalah satu penghormatan yang besar buat kami tetapi itu tidak bermakna tugas kami selesai. Manchester City masih perlu membina sejarah besar di Eropah," tambahnya.

City memenangi semua empat perlawanan Kumpulan F dan memiliki kelebihan tiga mata di tempat teratas.

Bagi pertemuan menentang Feyenoord yang masih belum memungut sebarang mata, Guardiola merancang untuk mengubah skuadnya.

Bekas jurulatih Barcelona dan Bayern Munich itu percaya ujian menanti pasukannya, yang perlu mengharungi 12 perlawanan sebelum akhir tahun ini.

"Kami tidak mempunyai skuad besar. Agak mengecewakan kami kehilangan Vincent Kompany satu setengah bulan dan kini John Stones," kata Guardiola.

"Untuk memenangi gelaran, kami memerlukan semua pemain, terutama tonggak penting seperti Stones dan Kompany.

"Kami perlu bermain 12 perlawanan dalam masa yang singkat, dengan hanya memiliki tiga pertahanan tengah dan salah seorang daripada mereka adalah Vincent, yang baru sahaja pulih," jelasnya.