MAN CITY 3 SOUTHAMPTON 1

Pep Guardiola kagum dengan persembahan pemain muda, Eric Garcia dan Tommy Doyle, ketika Manchester City meraih kemenangan ke atas Southampton dalam saingan Piala EFL, awal pagi tadi.


Penyandang juara itu mudah melangkah ke suku akhir dengan kemenangan 3-1 -- Nicolas Otamendi dan Sergio Aguero mencetak nama selaku penjaring sebelum Jack Stephens menyumbang jaringan sagu hati buat pelawat.

Ketika City mengalami krisis kecederaan, pemain muda, Garcia, bergandingan dengan Otamendi sebagai pertahanan tengah manakala Doyle turun selaku pemain tengah bertahan di belakang Bernardo Silva dan Phil Foden.

Penampilan mereka diberikan pujian oleh pengurus, Guardiola, yang percaya Piala EFL memberikan peluang buat City menguji pemain-pemain muda.

"Eric Garcia sekali lagi beraksi di tahap tertinggi, sama seperti musim ini dan musim lalu dalam Piala EFL," katanya.

"Dia tidak melakukan sebarang kesilapan. Doyle juga sama, bermain dengan baik sebagai pemain tengah bertahan.

"Buat masa ini, kami hanya memiliki seorang pemain tengah bertahan -- Ilkay Gundogan -- dan dia telah beraksi dalam banyak perlawanan.

"Saya berasakan dia bermain dengan cemerlang. Tahniah di atas penampilan sulungnya. Kami memiliki Fernandinho yang mampu turun beraksi sebagai pertahanan tetapi dia kini digantung.

"Kami tidak memiliki banyak pilihan. Itu sebab Doyle beraksi. Saya tidak memiliki sebarang alternatif. Dia bersama kami dalam pra-musim dan melihatnya beraksi di akademi. Saya tidak meragui dia mampu bermain di tahap terbaik."

Kejayaan dalam saingan Piala EFL menjadi lonjakan buat City meraih lebih banyak gelaran sejak dua musim lalu dan skuad kendalian Guardiola itu dijangka tidak menghadapi masalah untuk mempertahankan kejuaraan musim ini.

Empat lagi kelab gergasi, Arsenal, Manchester United, Chelsea dan Liverpool bakal bertemu awal pagi esok.

"Kejohanan ini bagus untuk meningkatkan mutu pasukan. Kami bermain dengan serius, kualiti hantaran kami sangat tinggi," kata Guardiola.

"Sukar untuk menyerang dengan sistem yang diguna pakai Southampton, mereka bertahan dengan lapan pemain dan memiliki serangan balas yang pantas. Ia perlawanan yang baik dan kami berjaya ke suku akhir."